• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

Jaringan Saat Akhir Beri TLHT Kemenangan

Pemain THLT meraikan gol kemenangan.
KUALA TERENGGANU, 18 Januari – Jaringan pada saat-saat akhir Fazilla Sylvester Silin memberi tiga mata berharga kepada Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) apabila menumpaskan PDRM Blue Warriors 1-0 sebentar tadi.

Gol pada minit ke-60 hasil pukulan sudut penalti itu menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan setelah permainan berlangsung sengit di Stadium Hoki Batu Buruk, di sini.

Menurut Fazilla, perlawanan hari ini sangat mendebarkan dan dia tidak menyangka dapat menjaringkan gol kemenangan untuk pasukannya.

“Kami memang mengharapkan untuk meraih tiga mata penuh di tempat sendiri walaupun kami agak gementar pada mulanya kerana pemain-pemain dalam TLHT agak muda berbanding pasukan PDRM.

“Alhamdulillah, kami berjaya capai mata penuh dan memberi tentangan sengit kepada pasukan hebat seperti PDRM,” jelasnya.

Sementara itu, Jurulatih TLHT, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim berkata, pasukannya bermain dengan baik apabila mendominasi permainan dan beberapa strategi yang dirancang berjaya dilaksanakan.


Jaringan TLHT yang dibatalkan oleh pengadil perlawanan.

“Namun, ketumpulan jentera serangan memanfaatkan setiap peluang terhidang menyebabkan kami terpaksa menunggu hingga minit terakhir bagi menjaringkan gol.

“Dan Alhamdulillah, kami berjaya juga akhirnya dalam keadaan pasukan lawan dibarisi beberapa pemain kebangsaan, kredit diberikan kepada pemain saya termasuk pemain muda,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Dalam perkembangan sama, kapten pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani berkata, meraih tiga pada hari ini adalah perkara yang paling mustahak perlu dilakukan oleh TLHT.

“Kami sedikit bergelut pada awal permainan’, tetapi usaha yang ditunjukkan daripada keseluruhan pasukan berjaya memberikan kami tiga mata untuk terus mencabar Pasukan Hoki Akademi KL,” jelasnya.

Dalam pada itu, ujar pemain tengah TLHT, Tuan Nurhidayah Tuan Ismail, bermain secara berpasukan dan fokus hingga wisel penamat menjadi kunci pasukannya meraih kemenangan.
Tuan Nurhidayah (berbaju putih).
“Kami juga mendapat tunjuk ajar daripada pemain-pemain senior dan kebangsaan, mereka membantu pemain-pemain baharu dengan baik,” ujarnya.




Tag: