KUALA TERENGGANU, 29 Januari - Negeri Terengganu Darul Iman kaya dengan budaya dan kesenian masyarakat Melayunya sejak turun temurun. Antara lain pakaian batik dan songket menjadi sinonim budaya hidup masyarakat sejak dahulu sehingga hari ini.
Penggunaan batik sebagai pakaian dalam tugasan harian menjadi ketetapan prosedur berpakaian Kerajaan Terengganu di hujung minggu hari bekerja (Khamis) bertujuan untuk memajukan industri batik bukan sahaja di Terengganu bahkan di seluruh Malaysia agar ia tidak lekang dek perubahan zaman.
Untuk tujuan itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak rakyat Terengganu supaya menjadikan batik sebagai pakaian tugasan harian mereka agar industri itu di negeri Terengganu dapat disuburkan sepanjang masa.
(Gambar) Dr Ahmad Samsuri memperagakan baju batik terap dengan corak moden dimuat naik di laman Facebooknya semalam.
"Jom pakai batik terap Terengganu. Awesome!," ajak beliau kepada seluruh rakyat supaya memakai baju batik terap Terengganu yang popular di seluruh negara dan antarabangsa.
Batik terap adalah perusahan batik tradisional rakyat Terengganu sejak sekian lama.
Dipercayai kerajaan negeri akan memberi perhatian serius terhadap perusahaan tradisi tersebut agar ia tidak terkebelakang ditelan zaman.