Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos- Jordan Mintah mencatatkan jaringan ke-14 peribadinya untuk membantu Terengganu Football Club (Terengganu FC) II terus mengekalkan rentak kemenangan dalam Liga Premier Malaysia 2021.
Melayan kunjungan Sarawak United di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), skuad kendalian Badrul Afzan Razali menang 1-0 untuk menduduki takhta liga buat kali pertama musim ini.
Tuan rumah bermula baik seawal minit pertama dengan penyerang kelahiran Ghana itu melakukan rembatan deras pada minit ke-7 yang ditepis penjaga gol lawan, Sharbinee Allawee.
Selang 10 minit kemudian, pemain muda, Muhammad Izman Solehin melakukan sungkitan cantik melepaskan Jordan berhadapan dengan Sharbinee dan memaksa penjaga gol itu melakukan bentesan.
Terengganu FC II dihadiahkan penalti yang mudah disempurnakan Jordan pada minit ke-19.
Ketinggalan satu gol, Sarawak United bangkit menggandakan asakan.
Pada minit ke-25, Taylor Regan menanduk sepakan bebas, Lee Changhoon namun tandukannya tersasar.
Christie Jayaseelan pula hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-38 apabila menyambut baik hantaran lintang Asri ChuChu, tetapi sepakannya hanya singgah ke sisi gol.
The Turtle pula lebih banyak menerapkan serangan balas bagi mengimbangi perlawanan.
Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Sarawak United jelas menguasai permainan dengan lebih banyak serangan ke kubu tuan rumah.
Terengganu FC II pula lebih banyak bertahan bagi mengekalkan kelebihan satu gol dibantu aksi cemerlang Argzim Redzovic.
Pada minit ke-70, Jordan yang mendapat lorongan di hadapan gol cuba menjarakkan jurang, bagaimanapun pertembungannya dengan Sharbinee membuatkan penyerang itu terpaksa diusung keluar.
Pelawat terus menggasak tetapi kubu Terengganu FC II kekal kebal sehingga tamat perlawanan.
Kemenangan tersebut meletakkan Terengganu FC II di tangga teratas dengan 28 mata.