Karnival Sukan Pupuk Persaudaraan

Ustaz Ridzuan Hashim (kiri) ketika berucap merasmikan Karnival Sukan Rakyat Kampung Tanjung Sabtu semalam (12 Oktober).
Oleh: Mohd Haniff Abas

KUALA TERENGGANU - Karnival sukan sememangnya dapat memupuk semangat persaudaraan dan kasih sayang sesama masyarakat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, melalui sukan, manusia dapat bergaul dan seterusnya mengeratkan ukhuwwah meliputi semua peringkat umur.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Sukan Rakyat Kampung Tanjung Sabtu anjuran Pemuda Tanjung Sabtu dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Buluh Gading dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Sabtu di Kampung Tanjung Sabtu, semalam (12 Oktober).

Menurutnya lagi, program seperti ini sangat bagus kerana ianya adalah kesempatan terbaik untuk mengeratkan hubungan yang sudah lama terjalin supaya lebih kuat dan kukuh.


“Program-program kemasyarakatan seperti gotong royong, majlis keraian hari-hari penting seperti sambutan hari raya adalah platform terbaik untuk memupuk semangat kerjasama dan harmoni.

"Semuanya untuk mencapai hasrat membina negeri yang maju, berkat dan sejahtera.

“Saya juga berharap agar kita semua tidak hanya menekankan aspek fizikal sahaja seperti aktiviti sukan sebegini.

"Program pengisian rohani dan kekuatan dalaman juga perlu dianjurkan agar mental dapat diperkuatkan," ujar beliau lagi.

Turut hadir, Pengerusi MPKK Tanjung Sabtu, Ustaz Fauzi Mustafa.

Tag: