Adun Belia Desak Persekutuan Tidak Khianat Royalti Terengganu
Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri bersama para atlet Sukma 2018 melaungkan slogan “Terengganu Hanelang” di Dataran Batu Burok. Foto - Solahuddin Al-Idrus |
Sehubungan itu, Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar turut mengumumkan, beberapa insentif kepada para atlet SUKMA yang berjaya merangkul pingat.
Azreen Nabila Alias (kanan) dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik Sukma 2018, dan Nur Aishah Muhammad Zubir, berjaya merangkul tujuh pingat emas dalam acara berbasikal. |
Malah, katanya kerajaan negeri akan menaja Atlet Wanita Terbaik SUKMA 2018, Azreen Nabila Alias ke Mekah bagi menunaikan ibadah Umrah.
“Kerajaan negeri juga telah meluluskan insentif-insentifnya. Pemberian RM3,000 bagi setiap pingat emas untuk setiap pemenangnya. Pemberian RM2,000 bagi setiap pingat perak untuk setiap pemenang dan pemberian RM1,000 bagi pingat gangsa untuk setiap orang pemenang.
“Bagi Atlet Wanita Terbaik SUKMA XIX 2018, Azreen Nabila Alias, kita (kerajaan) akan hantar mengerjakan umrah.
“Kerajaan negeri juga bersetuju memberi tambahan RM100 kepada setiap ahli kontinjen SUKMA dan semua sekali yang terlibat akan menerima insentif itu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Sambutan Kepulangan Wira-Wirawati Juara Sukma 2018 di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu, semalam (23 September).
Hadir sama menyambut kepulangan para atlet itu, Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Dato’ R Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan ramai lagi.
Dr Ahmad Samsuri bangga dengan pencapaian atlet SUKMA 2018 yang mengharumkan nama Negeri Terengganu. |
Dr Ahmad Samsuri turut merakamkan ucapan syukur dan tahniah khususnya kepada atlet, yang berjaya memecah rekod SUKMA serta merangkul pingat emas yang banyak.
“Syukur kita kehadrat Allah SWT dan syabas kepada seluruh kontinjen Terengganu yang telah membawa pulang Piala SUKMA XIX 2018. Pencapaian yang amat cemerlang dan membanggakan.
“Tidak ada ucapan yang boleh diberikan kepada seluruh atlet, pengurus, urusetia, ‘bapa angkat’ yang telah bertungkus-lumus memastikan kejayaan yang dikecapi oleh seluruh rakyat Terengganu.
“Kejayaan kita (Terengganu) menjadi juara dan diiringi dengan kejayaan ‘Ratu Pecut’ Terengganu, Azreen Nabila Alias, yang telah dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik SUKMA 2018.
“Beliau telah memecahkan rekod yang dipegang oleh atlet Johor, Siti Fatimah Ahmad dalam acara 100m. Emas juga dalam acara 200m dan 4x100m. Kita juga ada Nur Aishah Muhammad Zubir yang memenangi tujuh pingat emas acara berbasikal.
“Harapan saya, SUKMA 2020 nanti kita (Terengganu) sekali lagi menjadi juaranya, insya-Allah,” jelasnya.
Detik-detik manis kejayaan Ratu Pecut Terengganu, Azreen Nabila Alias, sekaligus dinobatkan sebagai Atlet Wanita Terbaik SUKMA 2018. |
“Saya suka memberi komitmen yang sesungguh-sungguhnya, bahawa kita akan berusaha untuk memastikan velodrom dapat dijayakan di Negeri Terengganu ini dalam masa terdekat.
“Ini kerana sudah lama kita hendak velodrom bagi sukan berbasikal. Kita mahu atlet kita cemerlang di peringkat nasional dan dunia, insya-Allah,” tegasnya di hadapan lebih 1,000 para atlet dan penyokongnya.
Dr Ahmad Samsuri ditemani Dato’ A Rahman (kanan) dan Exco Ustaz Wan Sukairi (kiri) mengadakan sidang medianya di Dataran Batu Burok, Kuala Terengganu. |
Kata Menteri Besar Terengganu, bagi mengekalkan prestasi kemenangan itu, kerajaan negeri akan memasukkan peruntukan khusus bagi pembangunan sukan dan atlet berprestasi tinggi dalam Bajet 2019.
“Kita juga akan jaga kebajikan para atlet kita kerana mereka membawa wajah Negeri Terengganu. Ini kerana, apabila cemerlang dan bergelar juara yang turut mendapat hasilnya (cuti) ialah rakyat semua.
“Kita (kerajaan) juga bersetuju untuk menyiapkan asrama sukan bagi para atlet kita. Insya-Allah, kita akan bawa atlet kita ini ke peringkat yang jauh lebih baik daripada apa yang ada sekarang ini.
“Sekiranya mereka memerlukan tempat latihan khusus di tempat-tempat tertentu, untuk melahirkan atlet yang berprestasi tinggi, kita (kerajaan) akan bawa. Insya-Allah, itu komitmen kita (kerajaan),” jelasnya.
Menurutnya, komitmen kerajaan bukan sekadar mahu mengekalkan kemenangan SUKMA pada tahun 2020, tetapi memastikan nanti orang tengok Negeri Terengganu ini bukan ‘lekeh’ (lemah).
Konvoi SUKMA 2018 yang pulang daripada Perak, mula berarak dari persimpangan Kuala Jeneris (Hulu Terengganu) melalui Kampung Matang, Kampung Telaga, Bandar Kuala Berang melalui Mydin Mall, Jalan Gong Kapas hingga berakhir di Dataran Batu Burok sejauh 70 kilometer, kira-kira jam 5.10 petang.
Sebahagian dari atlet Sukma 2018 yang meraikan kejayaan mereka di dataran Batu Burok, Kuala Terengganu |
Sebelum itu, Dr Ahmad Samsuri bersama Dato’ A Rahman (SUK) dan kumpulannya berbasikal sejauh dua kilometer ke lokasi dataran sebagai gimik sambutan.
Ketibaan konvoi yang diiringi motosikal berkuasa tinggi itu membawa 160 orang pemenang pingat emas, perak dan gangsa, yang diketuai oleh Ketua Kontinjen SUKMA 2018, Samiun Salleh dan Piala SUKMA tersebut diserahkan kepada Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.