Kerajaan Terengganu Baiki Rumah Penduduk Miskin DUN Jabi


Oleh: Hidayah Azlin

SETIU, 7 Mei - Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membaiki dan membina semula 76 buah rumah penduduk kurang berkemampuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi di sini tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahimberkata dari jumlah itu sebanyak 72 buah rumah akan dibaiki dengan kos maksimum RM11 ribu setiap sebuah dengan nilai keseluruhan, RM792 ribu.

Sementara empat buah rumah penduduk yang rosak teruk akan dibina semula dengan kos RM54 ribu sebuah dengan nilaian keseluruhan, RM224 ribu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Perumahanku Terengganu Sejahtera 9 (PPTS) di Perkarangan Surau Kerandang, di sini baru-baru ini.

Katanya, semua senarai rumah yang akan dibaiki atau dibina baharu dicadangkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN tersebut dan disahkan dalam Mesyuarat Fokus Group Daerah Besut.

"Perlaksanaan projek itu akan dipantau oleh Pejabat Daerah Besut," jelasnya.

Katanya, kerajaan negeri berusaha membantu rakyat tidak berkemampuan membina rumah dalam situasi penjimatan kos.

"Penjimatan kos dalam projek pembangunan perlu dilaksanakan agar lebih ramai rakyat dapat menikmati sebarang pelan bantuan perumahan yang disediakan," jelasnya.


Tag: