KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Pemain kelahiran Mali, Makan Konate menjadi pemain import kelima yang menyertai pasukan Terengganu Football Club (Terengganu FC) sekali gus melengkapkan kuota pemain import pasukan pantai timur itu, hari ini.

Bekas pemain tengah Persebaya Surabaya itu sebelum ini pernah beraksi di liga tempatan menerusi penampilan sulung bersama T-Team pada tahun 2016-2017.

Sepanjang berkelana di Indonesia, Konate meraih prestasi terbaiknya di Arema FC dengan menjaringkan 29 gol daripada 51 penampilan sepanjang dua musim bersama kelab tersebut.

Bersama Sang Penyu musim ini, Konate bakal kembali berganding bersama rakan sepasukannya dari Persebaya, David da Silva mengemudi barisan utama Terengganu FC.

Kehadiran Makan Konate yang menandatangani kontrak selama 1 tahun, skuad kendalian Nafuzi Zain itu hanya menanti lampu hijau daripada Malaysian Football League (MFL) untuk kembali ke padang latihan.

Dalam pada itu, MFL semalam mengumumkan bahawa Liga Malaysia musim ini yang dijadualkan bermula 26 Februari ini akan ditunda kepada 5 Mac 2021 susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di semua negeri kecuali Sarawak (PKP Bersyarat) sehingga awal bulan depan.


Tag: