Lawan ‘Tok Gajah’, Terengganu FC Sasar Tiga Mata

Foto ihsan - Media TFC.
KUALA NERUS, 11 Julai - Menjelang pertemuan ‘derby’ Pantai Timur menentang Pasukan Pahang malam esok, Terengganu Football Club (TFC) menyasarkan untuk mendapatkan tiga mata penuh sekali gus membalas kekalahan dalam aksi terdahulu.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim memberi keyakinan, semua pemain TFC bersedia untuk melakukan yang terbaik dalam dua perlawanan terakhir Liga Super yang berbaki.

Ujarnya, meskipun situasi pasukan sedikit tertekan, keupayaan dan fokus pasukan setakat ini berada dalam keadaan terbaik bagi mendapatkan kedudukan yang lebih baik dalam liga.

“Kita harap TFC mampu untuk menambahkan tiga mata lagi, itu harapan kita, walaupun dalam suasana yang tidak menentu untuk TFC apabila kita kehilangan Ketua Jurulatih dahulu, Irfan Bakti.

“Walaubagaimanapun, kita sudah melepasi satu fasa iaitu kekal di Liga Super, dengan kedudukan mata sekarang yang agak selamat, tetapi matlamat kita adalah untuk melonjak lebih ke atas,” jelasnya.

Hishamuddin (kanan) menzahirkan keyakinan kepada pemain TFC.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah melakukan lawatan kerja ke trek olahraga dan Stadium Gong Badak, di sini hari ini.

Mengulas mengenai kerja-kerja pembaikan padang di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, Hishamuddin menghargai pertolongan yang dihulurkan Malaysian Football League (MFL).

Katanya, usaha berkenaan untuk melihat kemajuan dan peningkatan bola sepak di Terengganu akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh persatuan.

“Daripada PBSNT, kami merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak MFL, khususnya kepada Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), yang sebelum ini sudi meluluskan pembaikan padang di Terengganu.

“Kita memilih Stadium Sultan Mizan kerana stadium ini agak bermasalah sebelum ini, kita harap usaha MFL untuk melihat pembangunan bola sepak dalam negara ini berjaya dan Terengganu menyambut usaha tersebut,” tambah beliau.





Tag: