Oleh: Dzakaria Mohd Salleh
SETIU, 14 Mei - Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') memperuntukkan lebih RM70,000 bagi membantu golongan kurang berkemampuan sempena Ramadan ini.
Setiausahanya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, berkata program bantuan yang diberi nama Sinar Ramadan bersama Khairunnisa' itu akan melibatkan kesemua lapan parlimen.
"Besut dan Setiu merupakan program kita yang pertama dan akan disusuli di kawasan lain.
"Pada hari ini, seramai 20 penerima bantuan dari Besut dan Setiu menerima wang tunai dan barangan keperluan bagi menampung sebahagian perbelanjaan mereka di bulan Ramadan dan persediaan menyambut Syawal nanti,"ujarnya di majlis tersebut yang diadakan di Kompleks Lukmanul Hakim, di sini, hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir.
Tuan Roslina |
"Matlamat Khairunnisa' ialah mengadakan aktiviti sosial dan kemasyarakatan bagi merapatkan hubungan silaturahim isteri pemimpin, ahli dan masyarakat.
"Kami juga menyumbang dan bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan, organisasi, institusi kerajaan dan swasta demi kepentingan dan kebajikan masyarakat,"katanya.
Menurut beliau, Khairunnisa' juga berharap lebih ramai golongan yang berkemampuan dapat menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan membantu kerajaan dalam menjayakan program yang dilaksanakan.