Irfan harap aksi lebih baik bertemu Pahang. |
Pada perlawanan pembukaan Unifi Liga Super 2019, TFC hanya mengutip satu mata apabila sekadar seri 1-1 menentang pasukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), semalam.
Irfan ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, aksi pertama Pahang yang menewaskan Kuala Lumpur semalam merupakan amaran kepada pasukannya.
"Pahang beraksi cemerlang hari ini. Mereka boleh dikatakan seakan memiliki tujuh pemain import jika turut dibarisi dua pemain naturalisasi iaitu Matthew Davies dan Mohamadou Sumareh.
"Dickson Nwakaeme walaupun tidak selaju dahulu tetapi masih berbahaya.
"Jadi tugas para pemain adalah jangan memberi ruang kepada pemain Pahang terutama Azam Azih untuk melakukan gerakan," katanya.
Antara aksi ketika menentang PKNS semalam. |
Dalam perlawanan tersebut, TFC yang turun tanpa tonggak import, Lee Andrew Tuck jelas tumpul di hadapan pintu gol walaupun mempamerkan persembahan yang baik.
"Saya mengharapkan aksi lebih baik daripada Tchetche Kipre untuk perlawanan akan datang.
"Hari ini, ketiadaan Lee Tuck tidak terlalu menjejaskan bahagian tengah, cuma kita kurang laju dalam memberikan tekanan kepada pihak lawan ketika kehilangan bola," katanya sambil menjelaskan pemain tengah itu akan kembali beraksi menentang Pahang.
Irfan bagaimanapun memuji aksi pertama penyerang dari Uzbekistan, Sanjar Shaakhmedov yang agak cemerlang.
"Saya juga memberi pujian atas sikap tidak menyerah kalah para pemain walaupun ketinggalan gol," tambahnya.
Beliau yakin pasukannya akan beraksi lebih baik dalam perlawanan akan datang yang bakal berlangsung di Stadium Darul Makmur.