Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
KUALA TERENGGANU, 1 April – Masjid Kristal kini dibuka kepada umum bagi aktiviti solat fardhu berjemaah termasuk solat sunat Tarawih dengan kapasiti 1,000 orang, bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, ia sudah tersedia setelah proses pembaikan bangunan ikonik negeri tersebut selesai dilakukan.
“Kerja pembaikian telah dilaksanakan dengan peruntukan sejumlah RM700,000 melibatkan kebocoran kubah dan atap masjid, siling serta pendawaian elektrik.
“Kita bersyukur kerana semua proses tersebut siap sekaligus mencapai hasrat kita untuk digunakan pada bulan Ramadan,” tambahnya dalam sidang media pengoperasian Masjid Kristal di Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man hari ini.
Ariffin turut berkata, proses baikpulih Masjid Kristal mengambil sedikit masa kerana keunikan pembinaannya memerlukan kepakaran khusus.
“Buat masa ini, kerja-kerja pembaikan yang telah dilaksanakan sudah memadai untuk masjid ini beroperasi bermula Ramadan.
“Walau bagaimanapun terdapat beberapa siri membaik pulih yang akan terus disempurnakan sehingga akhir tahun nanti melalui peruntukan dari kerajaan pusat atau negeri,” ujarnya.
Terdahulu, Masjid Kristal mengalami kerosakan sejak 2013, namun tindakan lewat diambil ketika itu menyebabkan kerosakan bertambah teruk pada 2017 sehingga perlu menamatkan operasinya.
Sepanjang Ramadan ini, pihak pengurusan Masjid Kristal akan menganjurkan beberapa program terbuka kepada orang awam termasuk solat tarawih bersama imam jemputan serta tadarus Al Quran.