Nafuzi Waspada Ancaman Negeri Sembilan

Foto: Media TFC.


KUALA TERENGGANU, 17 Ogos - Pengendali sementara Terengganu Football Club (Terengganu FC), Nafuzi Zain mengingatkan anak  supaya berwaspada dengan ancaman yang mampu dijelmakan pasukan Negeri Sembilan dalam pertemuan malam ini.

"Pihak lawan inginkan kemenangan untuk mengekalkan cabaran pasukan mereka dalam kempen Piala Malaysia kali ini," katanya ketika ditemui media di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), baru-baru  ini.

Melayan kunjungan si Rusa dalam aksi ketiga di halaman sendiri, Sang Penyu turun pincang tanpa penjaga gol utama, Ilham Nasrullah yang digantung perlawanan akibat menerima kad merah ketika menentang Kedah, minggu lalu.


Nafuzi bagaimanapun, yakin kekurangan itu dapat ditampung penjaga gol, Wan Muhammad Azraie Wan Teh.

"Selain Ilham, pasukan kami juga berdepan kecederaan beberapa pemain penting tetapi saya percaya pemain sedia ada mampu menggalas tugas sebaiknya.

"Azraie sendiri bermain cemerlang ketika dimasukkan dalam perlawanan tersebut dan saya yakin dengan kemampuannya," katanya.

Beliau turut berharap 'pemain ke-12' turun menghangatkan suasana dan memberi suntikan semangat kepada pasukan, malam ini.




Tag: