Pacuan Empat Roda Pamer Aksi Cabaran Sukan Lasak

MARANG, 11 Januari - Cuaca mendung dan hujan tidak mematahkan semangat 30 pemandu pacuan empat roda untuk beraksi dalam pertandingan Cabaran Sukan Lasak di Kampung Tertak Batu, di sini, semalam.

Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, ia dapat dilihat melalui penyertaan ramai para peserta meskipun keadaan merisikokan diri mereka.

"Dalam masa yang sama, kami sangat menyokong aktiviti seperti ini dijalankan lebih-lebih lagi ia dapat menarik minat belia di Terengganu.

"Saya juga teruja melihat kesungguhan pihak penganjur yang sanggup mengeluarkan wang terlebih dahulu bagi menghidupkan dan membersihkan kawasan ini supaya boleh dijadikan litar,"  katanya ketika merasmikan majlis penutup.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Tertak Batu, Zulkifli Taha berkata, pertandingan kali ini agak berjaya walaupun dirancang dalam tempoh yang agak singkat.

"Tujuan kita mengadakan pertandingan ini di sini, untuk menyuarakan cadangan lokasi ini sebagai tempat khusus bagi masyarakat atau ahli sukan ini melakukan aktiviti secara lebih baik," tambahnya.

Beliau yang juga pengarah program juga berhasrat untuk mengadakan pertandingan melibatkan Motocross pada masa akan datang.

Mengulas mengenai tapak sukan permotoran, Wahad berkata sebelum ini cadangan permohonan telah diangkat kepada pihak pentadbir tanah untuk menjadikan kawasan di sini sebagai litar rasmi untuk aktiviti itu.

"Walau bagaimanapun, ia akan melibatkan sedikit proses dan kita akan berusaha sedaya upaya untuk merealisasikan hasrat ini di peringkat seterusnya.

Katanya, cadangan bagi membina litar di Kampung Gong Tepah terpaksa dibatalkan ekoran ia telah digazetkan untuk rakyat setempat.

"Namun, Tertak Batu ini berpotensi besar untuk dihidupkan bagi menggantikan lokasi yang dibatalkan itu," jelasnya.

 

 


Tag: