Wan Sukairi (tengah) meninjau keadaan semasa padang SSMZA. |
KUALA NERUS, 11 Julai - Padang Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) yang sedang dalam proses penukaran dan baik pulih dijangka siap sepenuhnya pada September ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, proses tersebut sudah siap 80 peratus dan berjalan lancar mengikut masa yang telah ditetapkan.
Jelasnya, projek yang menelan belanja RM1 juta itu turut melibatkan pembaikan sistem saliran air dan longkang stadium, sekali gus ia akan memberikan nafas baharu kepada stadium berkenaan.
“Kita jangka proses tambah baik ini siap pada September, namun kita tidak akan terus menggunakan padang ini, sebaliknya akan menunggu dalam sedikit masa supaya struktur padang ini benar-benar kukuh.
“Selepas tempoh itu insya-Allah padang di SSMZA ini siap untuk diguna pakai dalam sebarang pertandingan bola sepak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke trek olahraga dan Stadium Gong Badak, di sini hari ini.
Hadir sama dalam lawatan tersebut ialah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.
Mengulas lanjut mengenai keadaan tempat duduk penonton di stadium berkenaan, Wan Sukairi memaklumkan, pihaknya sedang menunggu surat pengesahan daripada kontraktor dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan kawasan itu kukuh dan selamat digunakan.
“Selepas kita dapat surat jaminan itu, barulah kita akan berbincang untuk membina bumbung, tetapi untuk tempoh satu hingga dua tahun ini dengan mengambil kira kos, soal bumbung tidak berbangkit.
“Mengenai trek di sini pula, kita akan cabut dan letak rumput tiruan, tiada trek olahraga di stadium ini dan SSMZA hanya khusus untuk sukan bola sepak,” tambah beliau.
Untuk rekod, Terengganu merupakan negeri perintis dalam usaha Malaysian Football League (MFL) meningkatkan kualiti padang semua pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia (Liga-M).
Dimaklumkan juga, MFL bakal bergerak dengan projek menaik taraf pusat latihan yang bersesuaian untuk Terengganu FC pada masa akan datang.