Pakaian Patuh Syariah Atlet Mulai 12 Mac


KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Terengganu bakal memperkenalkan garis panduan  pemakaian patuh syariah atlet termasuk mereka yang akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 pada 11 hingga 19 Julai depan.

Perkara itu akan dinyatakan dalam majlis khas yang akan diadakan di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu pada 12 Mac ini.

Mulai tarikh itu, pihak berkaitan akan menetapkan garis panduan bagi setiap atlet beragama Islam, termasuk mereka yang menyertai sukan gimnastik dan akuatik.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, garis panduan pemakaian atlet itu nanti bukan sahaja meliputi aspek pemakaian, tetapi aspek syariah yang lain.


“Terengganu akan menguna pakai sebaik mungkin garis paduan itu supaya dapat diikuti dan dicontohi negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Jemputan Rasmi Kontinjen Terengganu sempena SUKMA Johor, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Wan Sukairi turut memberitahu, pihaknya bermungkinan akan menghantar kira-kira 600 atlet bagi menyertai 16 sukan wajib dan 15 sukan pilihan.

Katanya, buat masa sekarang, pihaknya sudah  melantik  bapa dan jabatan angkat bagi memberi sokongan pada setiap sukan yang akan dipertandingkan pada SUKMA Johor nanti.

“Bagi tujuan sama, setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri dipertanggungjawabkan menjadi bapa angkat.

“Manakala Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zainal Abidin Hussin dilantik sebagai Ketua Kontinjen,” katanya,


Tag: