Pasukan Hoki Terengganu Lakar Sejarah Baru

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Pasukan Hoki Terengganu (THT) melakar sejarah 9 tahun penubuhannya apabila muncul juara 'treble' bagi tahun 2023 setelah menang tipis 2-1 ke atas seteru utama, Pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam perlawanan akhir Piala TNB 2023, malam tadi.

Aksi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu berlangsung hangat seawal minit pertama dengan kedua-dua pasukan rancak berbalas serangan.

Pada minit ke-20, THT berjaya mendahului TNB dengan gol pertama menerusi jaringan Faizal Saari.

Bermula dari serangan balas digerakkan Syarman Mat Tee kepada Abdul Khaliq Hamirin, Ismail Abu kemudian melorongkan bola kepada Faizal yang menewaskan dua pertahanan sebelum melakukan tolakan melepasi penjaga gol lawan.

Dua minit kemudian, The Turtles hampir mencipta jaringan kedua, namun Muhammad Abid Sufian yang berdepan satu lawan satu dengan penjaga gol gagal menyempurnakannya.

Keputusan kekal 1-0 sehingga siren dibunyikan.

Bersambung babak kedua, TNB beraksi lebih pantas dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya.

Mujur ketangkasan penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizuddin Othman menafikan semua percubaan TNB.

Pada minit ke-43, TNB dihadiahkan tiga pukulan sudut penalti (PC) berturut-turut sebelum Muhammad Azrai Aizad menyudahkan flick Syed Muhammad Syafiq dengan tampanan tinggi melepas benteng THT untuk gol penyamaan.

Tersentak dengan jaringan tersebut, THT menggandakan asakan ke kubu TNB, namun Mohammad Hairi Abdul Rahman 'kebal' menjaga gawangnya.

TNB mendebarkan penyokong Terengganu setelah mendapat peluang daripada enam mata PC berturut-turut, bagaimanapun benteng THT mampu bertahan sekalipun Firdaus terpaksa dikeluarkan akibat cedera.

Lapan minit sebelum masa penamat, THT memperolehi PC ketiga dalam perlawanan dan Jang Junghyun meletakkan nama sebagai penjaring kedua pasukan untuk THT mendahului 2-1.

TNB cuba bangkit bagaimanapun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan sekaligus menyaksikan THT menjulang Piala TNB 2023 setelah memenangi Piala Sumbangsih dan Liga Hoki Malaysia musim ini.

Dalam perlawanan tersebut, Faizal dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan, manakala Hafizzudin memenangi gelaran penjaga gol terbaik.

 

 

 

 


Tag: