Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
KUALA TERENGGANU, 20 Disember- Seorang guru yang pulang bercuti di kampung terpaksa mengharungi saat sukar apabila berdepan situasi cemas ketika banjir melanda kawasan kediaman kedua ibu bapanya di Kampung Telok Menara, Manir di sini.
Hani Mahirah Johari, 40, mengakui agak panik memandangkan ini kali pertama mereka sekeluarga mengalami situasi banjir kerana sejak 10 tahun tinggal di kampung terbabit, rumah keluarganya tidak pernah dinaiki air.
"Air mula naik petang semalam, bila sampai paras buku lali dalam rumah kami buat keputusan untuk pindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Telok Menara sebab ayah strok dan ada dua bayi berusia dua dan tiga bulan iaitu anak kepada adik-adik saya dalam rumah.
"Kami pindah dalam pukul 2 pagi tadi sebab risau air makin naik lagipun tidak biasa berdepan situasi banjir macam nie.
"Saya mengajar di Johor, kebetulan cuti sekolah balik kampung ziarah emak dan ayah, adik beradik lain pun sama ada yang pulang dari Sabah, Shah Alam tidak sangka pula kami yang jadi mangsa banjir kali ini, " ujarnya yang mempunyai 10 adik beradik ketika ditemui pemberita di PPS tersebut, hari ini.
Sementara itu, Wan Gayah Abdullah, 60, dari Kampung Banggol, Manir pula menyifatkan banjir yang melanda Negeri Terengganu kali ini lebih teruk berbanding sebelum ini kerana sepanjang usianya dia tidak pernah berpindah ke PPS.
"Sepanjang tinggal disini rumah makcik tidak pernah naik air, tapi kali ini air cepat sangat naik dan arus deras.
"Sebaik air sudah mula mencecah lantai rumah, makcik empat beranak segera mengemas barang dan simpan di tempat selamat sebelum berpindah ke PPS ini dengan berjalan kaki.
"Ketika itu air sudah mencecah paras lutut di luar rumah. Makcik terpaksa berhati-hati untuk mengharungi banjir kerana bimbangkan keselamatan berikutan paras air agak tinggi ketika itu, bukan tak nak tunggu bantuan tiba tapi takut lambat sampai, sebab tu makcik sekeluarga redah juga air banjir, " ujarnya yang ke PPS kira-kira 11.30 malam tadi.