Pertandingan Ayam Sorak Tok Saboh Gamat



 
Acara tradisional sebegini eratkan hubungan antara penduduk. 
Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 6 Mei – Pertandingan Ayam Sorak semakin mendapat sambutan di kalangan penduduk tempatan sekitar daerah ini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, acara itu secara tidak langsung menjadikan minat memelihara ayam hutan di kalangan penduduk Besut semakin meningkat.

“Lebih-lebih lagi apabila banyak pertandingan yang dipertandingkan di peringkat kampung sehingga  ke peringkat daerah,” katanya ketika hadir melihat pertandingan Ayam Sorak di Gelanggang Raja Kokok di Kampung Tok Saboh, semalam.
 
Juri memeriksa ayam hutan yang bertanding.
Turut hadir, Pembantu Hal Ehwal Belia, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Besut, Hafiz Yusoff dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tok Saboh, Saunuddin Yusof.

Program anjuran MPKK Kampung Tok Saboh yang disertai pelbagai peringkat umur mewujudkan suasana meriah dan gamat dengan sorakan pemilik ayam hutan di luar gelanggang, sekali gus menarik penyertaan pengunjung luar daerah itu.

Dalam pertandingan itu, ayam hutan yang berkokok paling lama dipilih sebagai pemenang dan merebut hadiah berupa barangan elektrik.
Salah seorang pemenang berjaya bawa pulang hadiah kipas elektrik.






Tag: