Produk Terengganu Selangkah Ke Arah Persijilan Halal

Nurkhuzaini melihat produk T-Mart sambil diperhatikan Anuar.
KUALA LUMPUR, 17 Februari - Kerajaan Terengganu melalui Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) merancang untuk memperluaskan pemasaran produk usahawan-usahawan negeri itu dengan memenuhi piawaian sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, YPU bakal menggalakkan para usahawan di Terengganu untuk mendapatkan sijil halal sebagai salah satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) untuk menyertai 'showcase' anjuran yayasan berkenaan di seluruh negara pada masa akan datang.

"Sebenarnya, Terengganu agak ketinggalan dalam aspek penjenamaan sijil halal kerana kita berada dalam zon selesa dikelilingi majoriti usahawan Muslim.

"Berbeza dengan situasi di kawasan Pantai Barat, sesuatu produk perlu mendapatkan logo halal untuk diterima dalam masyarakat.
Produk makanan Terengganu dijangka mempunyai potensi pasaran yang luas dengan penarafan sijil halal.
"Pelaksanaan untuk mendapatkan persijilan halal ini bakal bermula dan pihak YPU akan menyediakan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta menyelaras permohonan bagi usahawan di bawahnya," katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri program 'Walkabout' Showcase Teganu Kite 2019 di Sungei Wang Plaza, Bukit Bintang.

Program tersebut merupakan penganjuran kali ketiga YPU setelah diadakan di Putrajaya dan Johor sebelum ini.

Showcase itu menjadi medan sekitar 20 usahawan terpilih terdiri daripada perusahaan kraf, batik dan makanan untuk memperkenalkan produk mereka kepada masyarakat di luar negeri di samping membina jaringan pemasaran.
Pengunjung dari Korea Selatan turut terpikat dengan batik Terengganu yang dipamerkan.
Dalam kunjungan berkenaan, Nurkhuzaini turut memaklumkan, penarafan sijil halal kepada produk mampu membawa produk Terengganu ke luar negara.

"Ini untuk masa depan mereka supaya dapat pergi lebih jauh lagi.

"Eksport juga, salah satu syaratnya ialah sijil halal. Pada masa itu, tidak adalah usahawan kita terkial-kial mendapatkan sijil halal sekiranya produk merek terpilih untuk dieksport," katanya.

Kunjungan tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Anuar Awang, wakil pengurusan Sungei Wang Plaza serta kakitangan YPU.

Showcase tersebut berlangsung selama empat hari dan berakhir Khamis lalu.
Showcase Teganu Kite antara usaha YPU membawa produk Terengganu ke peringkat lebih tinggi.



Tag: