Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN, 26 Disember - Aksi menarik yang ditampilkan pasangan kembar yang mempersembahkan rentak seni bela diri, Muay Thai membuatkan ramai hadirin terpegun dan tidak berganjak.
Pasangan itu, Noraini dan Noraina Mohd Noor, 16 tahun dari Kemasek, Kertih, dekat sini, mula terlibat dengan seni olahraga bela diri itu ketika berusia 12 tahun dan kini mendapat tunjuk ajar dari seorang guru, Mokhtar Che Lah.
"Aktiviti ini tidak mengganggu pelajaran kami, malah lebih mendisiplinkan kami.
"Kami berlatih selepas waktu Asar. Kami berlatih setiap hari bagi memantapkan teknik dan penguasaan yang baik," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mempamerkan aksi seni mempertahankan diri itu, di Majlis Perlimau Persatuan Seni Silat Tari Laksamana, di Almuktafi Billal Shah, di sini, kelmarin.
Mokhtar Che Lah yang juga Pengerusi Kelab ' Aswasix' (kaki tempat), berkata pasangan kembar itu akan menyertai satu kejohanan 'Muay Thai' mewakili negeri yang bakal diadakan di Pahang, pada awal 2019 nanti.
"Buat masa ini kembar ini adalah yang terbaik selain dua lagi remaja lelaki.
"Selain mereka, saya juga sedang melatih seorang pelajar yang paling muda baru sahaja berusia 11 tahun," katanya.