Rangka Pelan Induk Terperinci Bagi 43 Sukan Di Terengganu - Wan Sukairi


KUALA NERUS, 12 Julai - Kerajaan negeri berjaya merangka satu pelan induk yang terperinci bagi semua sukan untuk tempoh 10 tahun akan datang yang bermula pada 2021.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi  Wan Abdullah berkata, Pelan Induk Sukan Sepuluh Tahun Negeri Terengganu (2021-2030) agak berlainan dari perancangan terdahulu yang merupakan pelan induk keseluruhan.

"Seperti yang saya katakan, pelan induk kali ini lebih khusus kepada 43 sukan yang ada di Terengganu, tidak secara menyeluruh tetapi secara khusus.

"Dalam erti kata lain, apa yang kita nak capai dalam bidang sukan dari sudut pencapaian sama ada di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Bengkel Pelan Induk Sukan Sepuluh Tahun Negeri Terengganu (2021-2030) di Dewan Banquet, Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu, Gong Badak, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu dan timbalannya, Ahmad Shahrizal Yahaya.


Katanya, selepas daripada ini, pelan induk akan melalui satu fasa pemurnian supaya ianya lebih realistik.

"Ini supaya pelan yang dirangka lebih realistik kerana kita tidak mahu ia menjadi pelan yang ideal tetapi tidak berpijak di bumi yang nyata.

"Selepas proses pemurnian, pelan induk ini akan dibukukan dan menjadi rujukan utama dalam memperkukuhkan sukan di negeri Terengganu," ujarnya lagi.

Tambahnya, pihaknya juga akan berusaha melebarkan lagi sukan-sukan lain yang berpotensi seperti bola sepak, silat dan lawan pedang.

Mengulas lanjut, Wan Sukairi berharap pencapaian sukan negeri Terengganu sepanjang tempoh 10 tahun akan datang boleh dicapai melalui pelan induk tersebut.

Tag: