KUALA TERENGGANU, 27 Januari - Seramai 39 usahawan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera menerima sumbangan peralatan perniagaan menerusi Program Dana Usahawan Terengganu (DUTE) 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, sumbangan di peringkat DUN Kota Putera itu telah melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM50,000.

"Majlis ringkas ini diadakan sempena dengan program Serahan Barangan Dana Usahawan Terengganu peringkat Dun Kota Putera (DUTE 2025)," katanya menerusi sebuah hantaran selepas merasmikan majlis penyerahan sumbangan di Anjung Kota Putera Square, Besut, semalam.
Menurut beliau, enam daripada jumlah penerima tersebut telah menerima peralatan secara terus di premis perniagaan masing-masing.

"Bantuan yang disalurkan adalah dalam bentuk barangan dan peralatan mengikut keperluan perniagaan masing-masing.
"Mereka ini terdiri daripada pelbagai latar perniagaan antaranya pengusaha makanan, jahitan dan sulaman, bengkel kenderaan, pembinaan dan hardware serta kraftangan.
"Harapan ambo (saya), peralatan yang diterima hari ini dibawa balik dan terus gunakan. Jangan jadikan ia menjadi perhiasan semata-mata," ujarnya.

"Kita mahu usahawan-usahawan kita menjadi lebih berdikari dan kental menghadapi cabaran ekonomi semasa.
"Semoga dengan sedikit bantuan peralatan ini, perniagaan usahawan-usahawan kita semakin maju dan berjaya. Insya-Allah," katanya penuh harapan.