lightning-solid
Berita :
Sambutan Tahun Baharu Cina DUN Tepuh Perkukuh Semangat Perpaduan
Sambutan Tahun Baharu Cina DUN Tepuh Perkukuh Semangat Perpaduan
Muhamad Fazlee Aziz
19 jam yang lepas
44

Oleh : Nurul Natasha Surin

KUALA NERUS, 16 Februari – Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepuh yang berlangsung di Balai Raya Kampung Pulai Baru, di sini, menjadi platform memperkukuh semangat muafakat dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepuh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, perpaduan perlu terus diperkasakan tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit demi memastikan keharmonian serta kemakmuran negeri sentiasa terpelihara.

Menurutnya, setiap individu tidak mempunyai pilihan terhadap bangsa dan keturunan ketika dilahirkan, justeru kepelbagaian yang wujud harus diraikan sebagai asas untuk saling mengenali dan memperkukuh hubungan persaudaraan.

“Walaupun kita berbeza bangsa dan latar belakang, kita tetap manusia yang diciptakan oleh Allah SWT. 

“Kepelbagaian ini bukan untuk memisahkan, sebaliknya supaya kita saling mengenali dan hidup dalam suasana harmoni,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa penganjuran sambutan itu diadakan lebih awal berikutan Tahun Baharu Cina tahun ini jatuh pada awal Ramadan.

Katanya, langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran majlis di samping memberi ruang kepada masyarakat Cina menyambut perayaan dalam suasana lebih selesa dan teratur.

“Keputusan ini dibuat selepas perbincangan dengan pelbagai pihak serta mendapat persetujuan bersama, termasuk daripada wakil masyarakat Cina di sini,” jelasnya.

Hishamuddin turut berkata, kerajaan negeri sentiasa komited memelihara hubungan baik antara kaum dan memastikan setiap lapisan rakyat menikmati limpahan pembangunan serta rezeki tanpa diskriminasi.

IMG_3087.jpeg 1017.09 KB
Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Khas (Hal Ehwal Bukan Islam) kepada Menteri Besar Terengganu, Dr. Balachandran Gopal Krishnan.

Sambutan Tahun Baharu Cina yang berlangsung malam semalam jelas mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh muafakat dan keharmonian masyarakat majmuk di Terengganu.


Tag :

Artikel Berkaitan