KUALA TERENGGANU, 6 April - Terengganu Football Club (Terengganu FC) tidak memperolehi sebarang mata apabila kalah tipis dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak Football Club (PKNP FC) 1-2 di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah di sini malam ini.
Skuad PKNP FC mengejutkan pasukan tuan rumah apabila berjaya mengatasi 2-1 di stadium tersebut.
Sepak separuh masa pertama bermula menyaksikan pasukan PKNP FC terlebih dahulu memberi tekanan kepada skuad Sang Penyu dengan rembatan dari luar kotak penalti dilakukan oleh G. Mugenthiran pada minit ke-13.
Namun, sepakan itu berjaya ditepis oleh penjaga gol Terengganu FC.
Pasukan tuan rumah berjaya mengasak gawang pasukan pelawat PKNP FC dengan beberapa asakan berbahaya tetapi kegagalan untuk melakukan penyudah yang baik membantutkan usaha Terengganu FC memperoleh gol di babak pertama.
Pada lewat aksi babak pertama, PKNP FC berjaya mencuri gol menerusi sepakan penalti Giancarlo Lopes.
Jaringan tersebut menyaksikan Giancarlo berjaya mencetak lima gol dalam Liga Super musim ini.
Masuk separuh masa kedua, Giancarlo lagi sekali berjaya menjaring gol kedua dalam minit ke-46.
Kehampaan pertahanan Terengganu FC, Adib Aizuddin membuatkan Mugenthiran berjaya merampas bola tersebut dan melakukan hantaran ke Giancarlo.
Tersentak dengan jaringan itu, anak buah Irfan Bakti mula perkemaskan permainan dengan melancarkan serangan ke kubu lawan.
Terengganu FC berjaya mengurangkan defisit menentang PKNP FC selepas pemain jersi nombor 11, Syamim Yahya menyudahkan jaringan pada minit ke-73.
Percubaan demi percubaan dilakukan oleh skuad Sang Penyu selepas jaringan tersebut namun gagal mencari gol penyamaan menyaksikan Terengganu FC terus menimpa kekalahan ketiga dalam Liga Super musim ini.
Skuad PKNP FC berjaya melakar kemenangan kedua berturut-turut selepas menewaskan Kuala Lumpur 4-0 pada dua minggu lalu dan Terengganu FC pula penyumbang kemenangan tersebut.