Syarikat Terengganu, Chicken Cottage Buka 'Outlet' ke-67 di London
Foto: Media TFC. |
KUALA TERENGGANU, 28 September- Segalanya tidak menjadi buat Terengganu Football Club (Terengganu FC) pada separuh masa pertama menentang Johor Darul Ta' zim (JDT) dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia 2019, hari ini.
Beraksi di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Terengganu FC bermula baik seawal permainan dan menekan lawan dengan tempo tinggi untuk mengurangkan defisit satu gol.
Bagaimanapun, JDT lebih banyak mengatur serangan dengan penyerang tuan rumah, Safawi Rasid beberapa kali berjaya melakukan rembatan ke arah pintu gol pelawat.
Namun, segalanya berubah pada minit ke-15 apabila JDT dihadiahkan penalti setelah Nasrullah Hanif menjatuhkan Corbin Ong.
Penalti berkenaan disudahkan Gonzalo Cabrera, meletakkan JDT di depan dengan agregat dua gol.
Penyokong Terengganu FC yang hadir ke Larkin memberikan sokongan kepada pasukan. Foto: Media TFC. |
Terengganu FC cuba bangkit, tetapi JDT lebih pantas menjarakkan kedudukan setelah Safawi menyempurnakan sepakan percuma tepat membolosi sebelah kanan gawang pelawat pada minit ke-21.
Gol kedua itu seakan-akan merentap semangat pemain Sang Penyu apabila mereka mudah dibolosi dua gol lagi, kali ini melalui tendangan sangga Safawi pada minit ke-36 dan tampanan Cabrera, empat minit kemudian.
Terengganu FC kembali mengatur gerak dan pada minit akhir separuh masa pertama, Lee Tuck berjaya merapatkan kedudukan hasil rembatan kencang luar kotak penalti.
Bersambung babak kedua, pelawat lebih agresif menyerang namun tidak berjaya merobek gawang yang dikawal penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias.
Pada minit ke-67, rembatan Tcheche Kipre hanya singgah di palang.
Manakala, hantaran lintangnya pada minit ke-82 tidak berjaya disudahkan Serhii Andrieiev.
Keputusan 4-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus, JDT melangkah ke peringkat separuh akhir dengan agregat 5-1.