Sang Penyu Tetap Waspada Ancaman Tok Gajah

KUALA TERENGGANU, 6 April- Terengganu Football Club (Terengganu FC) tidak memandang rendah kemampuan Sri Pahang FC, sekalipun pasukan lawannya itu berada dalam prestasi merudum ketika ini.

Pengendali skuad Penyu, Nafuzi Zain menyifatkan tentangan Tok Gajah tidak harus dipandang remeh dalam pertemuan kedua-dua pasukan itu di Stadium Darul Makmur, malam ini. 

"Sri Pahang walaupun tewas kepada Kedah Darul Aman FC tetapi mereka bermain dengan baik, mungkin keputusan perlawanan sahaja tidak memihak mereka," katanya.

Sekalipun kehilangan ramai tonggak akibat kecederaan, dengan Rahadiazli memasuki senarai terbaru, Nafuzi tetap percaya pasukannya mampu bersaing pada kedudukan teratas liga dengan baki perlawanan yang ada.

"Itu bukan alasan, saya percaya dengan semua pemain saya. Sesiapa yang saya letak bermain, saya tahu mereka boleh melakukan yang terbaik," katanya.

Jumaat lalu, Terengganu FC jatuh ke kedudukan ketiga Liga Super 2021 apabila seri 0-0 dengan PJ City di laman sendiri. 

Kemenangan ke atas Sri Pahang malam ini dijangka mampu melonjakkan kembali semangat pasukan itu yang mencatatkan dua seri dan satu kekalahan dalam tiga perlawanan terakhir mereka.


Tag: