Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA NERUS, 2 April- Terengganu Football Club (Terengganu FC) berkongsi satu mata dengan PJ City apabila seri satu sama dalam aksi keenam Liga Super 2021, sebentar tadi.
Tanpa kelibat Rahadiazli, Sang Penyu meletakkan tonggak Terengganu FC II, Mohd Suhaimi Husin bagi mengawal gawang tuan rumah.
Nafuzi juga dilihat mengekalkan Jordan Mintah dalam perlawanan ini.
Melayan kunjungan PJ City di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu FC cuba mendapatkan kelebihan awal, namun sepakan leret Jordan pada minit ketiga, lemah ke dakapan penjaga gol lawan.
Pada minit kesembilan, pelawat mendapat peluang menjaringkan gol apabila hantaran lintang Gurusamy muntah dari dakapan Suhaimi, namun penjaga gol muda itu berjaya menghadang bola rembatan Kugan Dhevarajan dari menerjah jaring.
Perlawanan berlangsung hambar kerana anak-anak buah P. Maniam menerapkan corak bertahan menyukarkan tuan rumah menyerang.
Keputusan kekal 0-0 sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Sang Penyu cuba meningkatkan serangan ke kubu lawan.
Pada minit ke-77, Makan Konate melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti, namun penjaga gol PJ City, Kalamullah Al-Hafiz cemerlang menepis keluar bola tersebut.
Konate sekali lagi mendapat peluang, kali ini rembatannya turut ditepis keluar Al-Hafiz pada minit ke-89 membolehkan Terengganu FC mendapat sepakan sudut.
Sepakan yang dilakukan Konate berjaya mencari Jordan, namun tandukan penyerang itu dinafikan tiang gol.
Kedudukan kekal sehingga tamat perlawanan. PJ City berjaya mencuri satu mata untuk di bawa pulang.
Terengganu FC kini berada di tangga ketiga liga dengan 12 mata.