'Siapa Lagi Nellang', - MB Terengganu


 
Aksi Dr Ahmad Samsuri (kiri) dan Syed Saddiq ketika membuat tendangan penalti di padang sintetik Mak Cili kelmarin.

KEMAMAN,19 Februari - "Siapa lagi `Nellang'," kata Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika memaparkan gambar aksi tendangan penalti beliau bersama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Padang Sintetik Stadium Mini Mak Cili, Chukai dalam status Facebooknya, semalam.

Kedua-duanya menjaringkan gol seolah-olah seri satu sama apabila berjaya mengelirukan penjaga gol pinjaman, satu aksi sepakan penalti yang menggembirakan semua.

Aksi tendangan penalti sebagai gimik perasmian itu disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Ustaz Wan Sukari Wan Abdullah, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid, kakitangan kerajaan dan orang ramai yang hadir di padang tersebut.

Kedua-dua kepimpinan kerajaan negeri dan Pusat itu menghadiri Majlis Penyerahan Padang Sintetik tersebut oleh Kementerian Belia Dan Sukan Malaysia kepada Majlis Perbandaran Kemaman, di sini, kelmarin.

Ketika ditanya pemberita, Syed Saddiq melalui kementeriannya berjanji akan berusaha mengadakan lampu limpah di stadium berkenaan agar belia dan masyarakat sekitar dapat menggunakan padang berkenaan di waktu malam bagi mengelak mereka melibatkan diri dengan kegiatan tidak bermoral.

Katanya, waktu malam lebih relevan digunakan untuk aktiviti sukan bagi mereka yang bekerja di siang hari.


Tag: