Adun Belia Desak Persekutuan Tidak Khianat Royalti Terengganu
Foto credit : Page Kapten Ladang |
KUALA TERENGGANU - Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) akan memasang skrin gergasi untuk tontonan umum di hadapan pintu masuk Wisma Darul Iman, berhampiran Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), sempena perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia, Terengganu menentang Johor Darul Takzim (JDT), pada malam 6 Oktober ini.
Timbalan Presiden PBSNT, Hishamuddin Abdul Karim berkata, disebabkan kapasiti ruang SSINS yang terhad, manakala jangkaan kunjungan sokongan peminat agak luar biasa pada perlawanan Sabtu ini, maka PBSNT dengan kerjasama Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) akan menyediakan kemudahan skrin gergasi kepada peminat sukan itu yang tidak dapat memasuki stadium.
Katanya, pihaknya juga menerima banyak aduan penonton yang kecewa dengan jualan 'ulat tiket' pada setiap kali perlawanan bola sepak.
"Jualan ulat tiket dengan harga yang tinggi dan menyebabkan ramai penonton setia bola sepak gagal memperolehi tiket atau memperolehinya dengan harga yang tinggi.
"PBSNT serius untuk memastikan agar hak penonton dapat dikongsi secara adil,"katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.
Tambah Hishamuddin lagi, PBSNT juga amat kesal dengan tindakan menjual tiket yang mengaut keuntungan menerusi jualan mencecah RM20 hingga RM50 sekeping bergantung status perlawanan untuk kategori ruang terbuka itu.
Sehubungan dengan itu, menurut beliau lagi, PBSNT akan memohon kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan ulat tiket dapat dibanteras.
"Dengan kerjasama pihak PDRM dan KPDNHEP agensi ini akan menempatkan anggota berpakaian preman untuk meninjau dan melakukan operasi pembanterasan, termasuk menangkap terus agen yang dikenali sebagai ulat tiket ini," kata beliau lagi.
Beliau juga berharap semoga nasib peminat setia bola sepak Terengganu akan terus terbela.