KUALA TERENGGANU, 4 Februari - Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) akan berubah wajah apabila kerja mengecat bahagian dalaman dimulakan tidak lama lagi.
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, bagaimanapun, venue utama pasukan Terengganu Football Club (TFC) sebagai tuan rumah bagi saingan Liga Super 2019 perlu dibersihkan terlebih dahulu yang melibatkan seluruh tempat duduk.
"InsyaAllah kita mulakan proses pembersihan menggunakan pancaran air (waterjet) untuk membersihkan semua kekotoran terlebih dahulu.
"Sehubungan itu, PBSNT mahu penyokong bersama pihak berkuasa yang terlibat menyertai program gotong-royong ini yang akan ditetapkan tarikh yang bersesuaian nanti,"katanya dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam Facebook rasmi beliau selepas melawat stadium itu, kelmarin.
Sebelum itu, Hishamuddin berkata, cadangan mengecat semula SSINS itu sudah dibentangkan di peringkat PBSNT yang dimulakan pada 1 Disember lalu menerusi mesyuarat penyelarasan bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sebagai `tuan punya' stadium berkenaan bagi merangka pelan membaik pulih kemudahan sukan itu (termasuk cat).
Menurut beliau lagi, keputusan mesyuarat juga bersetuju untuk berusaha mendapatkan sokongan pihak ketiga bagi membekalkan cat secara percuma.
"Pun begitu, usaha itu menemui jalan buntu. MBKT berusaha dengan memohon bajet sokongan dengan pihak SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu). Surat dipanjangkan pada 23 Januari 2019.
"Susulan itu juga, MBKT telah menjalankan gotong-royong membersihkan SSINS pada 23 dan 24 Januari 2019,"katanya
Tambah beliau, usaha gotong-royong itu tidak digerakkan secara melulu berikutan faktor cuaca dan usaha untuk meminimakan perbelanjaan yang perlu dikeluarkan kerajaan negeri.
Katanya lagi, MBKT dijangka akan memanggil mesyuarat bersama pada 4 Februari ini untuk melaksanakan tindakan seterusnya supaya hasrat menukar wajah keseluruhan SSINS direalisasi.