Sukan Tradisional 'Tonik' Baru Pikat Pelancong Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Mac - Sukan tradisional seperti memanah, gasing dan wau mampu dijadikan tonik baharu dalam meningkatkan kehadiran pelancongan ke negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kejayaan mengangkat sukan-sukan berkenaan mampu mewujudkan segmentasi baru dalam tumpuan pelancong ke negeri itu.
"Tujuan saya sebenarnya besar, tetapi terlebih dahulu saya ingin lihat kesungguhan penganjur, sebab acara-acara tradisional ini dia perlu ada kesungguhan penganjur yang mempunyai minat mendalam. Kalau kita tengok ia biasanya dilaksanakan penganjur yang bersifat pemain atau pengamal sukan tersebut dan menjadi peserta sekali.
"Acara memanah tradisional memang kita hendak masukkan dalam kalendar pelancongan negeri, saya sedang buat penelitian mendapatkan jumlah berapa pembuat busur, pemanah tradisional dan pemain yang sudah berada di taraf antarabangsa.
"Sukan lain seperti gasing, wau ini kita telah ada di Kampung Budaya Terengganu (KBT). Suma sukan ini tidak sebesar sebagaimana dulu-dulu kerana pemainnya dari dalam negara sahaja. Saya telah maklumkan pengurus besar KBT, supaya sukan ini diadakan pertandingan untuk menghidupkannya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Tambahnya, sukan memanah menjadi tumpuannya ketika ini berikutan ia bersifat antarabangsa.
"Dari Iran pun ada, di sebelah Timur Tengah juga ada peminatnya sama ada memanah sahaja atau memanah berkuda. Saya fikir memanah ini memang kita akan kumpul persatuan mereka untuk dijadikan satu produk baru pelancongan Terengganu," jelasnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berharap, tahun ini dapat dijadikan momentum dalam menerima pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2026.
"Pada 2024, saya amat bangga dengan kehadiran pelancong melebihi sasaran, cuma penyusunan dari segi acara perlu dikemas kini. Disebabkan itu pada tahun ini acara-acara utama lebih banyak dari tahun lepas dan lebih bersifat antarabangsa.
"Dalam masa sama, kita cuba membaik pulih beberapa kemudahan dan infrastruktur yang wajib. Di Terengganu ini, pulau-pulau menjadi segmen pelancongan paling panas, sebab itu kita membaik pulih jeti dan kemudahan di pulau-pulau di seluruh Terengganu.
"Tahun depan, kita akan sambut pelancong ke negara kita dan berusaha memastikan Terengganu jadi destinasi wajib singgah," ujarnya.
Dalam pada itu, hasrat itu tampak bakal menjadi nyata apabila Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim baru-baru ini memaklumkan, Festival Memanah Tradisional Busur OWL 916 akan kembali lagi bagi edisi penganjuran tahun 2025 yang akan diadakan di Padang Polo, Terengganu Equestrian Resort pada 28 hingga 29 Jun 2025.
Dijangka 2000 orang peserta melibatkan penyertaan daripada dalam dan luar negara yang akan menyertai festival berkenaan.