SUKMA 2018: Aisyah, Azreen Finalis Olahragawati

Azreen Nabila Alias.
IPOH - Dua atlet Terengganu disenaraikan antara calon olahragawati Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 yang bakal dinobatkan ketika temasya itu melabuhkan tirainya di Stadium Perak, di sini, malam ini.

Atlet berbasikal, Nur Aisyah Muhammad Zubir yang meraih tiga emas dilihat mampu mencabar gelaran itu dengan menambah koleksi pingat dalam acara trek yang berlangsung di Velodrom Rakyat, hari ini.

Selain itu, ratu pecut SUKMA, Azreen Nabila Alias  yang menyumbang tiga emas menerusi acara pecut 100M, 200M dan 4X100M turut tercalon sebagai pilihan.

Azreen yang memecahkan rekod Siti Fatima Mohamad (11.82s) pada SUKMA 2008 dengan catatan 11.81s bagaimanapun tidak meletakkan harapan terlalu tinggi terhadap gelaran itu.

Ini kerana mereka berdua akan bersaing dengan seorang lagi pencabar iaitu gimnas dari Wilayah Persekutuan, Rayna Hoh yang menyapu bersih emas dipertandingkan dalam acara gimrama.

Nur Aisyah meraikan menteri besar Terengganu yang hadir menyaksikan pelumbaannya di Velodrom Rakyat,Ipoh.

Calon olahragawan pula turut menyaksikan persaingan tiga penjuru antara perenang Johor, Tia'a Fang Der, raja pecut, Muhammad Aqil Yasmin dan pemanah Sabah, Eugenius Lo.

Fang Der memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 400M rampaian individu (4:30:48) memadamkan rekod terdahulu milik Sebastian Soon dari Wilayah Persekutuan (4:30:85).

Namun, keupayaan Eugenius yang cemerlang memecahkan tiga rekod kejohanan dalam acara compound dan Aqil yang mencipta rekod baharu acara pecut 200M lelaki turut mencabar gelaran itu.


Tag: