Aisyah Mohamamad Zubir dan Sharifah Nur Ilyana Syed Zulkifli. Foto oleh Harish Fadzillah Abu Kassim |
TAIPING - Sukan berbasikal terus menceriakan kem Terengganu apabila menghadiahkan emas dan gangsa, hasil kayuhan ratu trek, Aisyah Mohamamad Zubir dan Sharifah Nur Ilyana Syed Zulkifli dalam kategori berbasikal 80 kilometer (km) individu wanita, pada hari keempat temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke -19, 2018, di sini, hari ini.
Pada acara final di Arena Square, Batu Kurau, Nur Aisyah, 21, sekali lagi menepati sasaran bagi kategori itu apabila mengutip emas kedua peribadi pada temasya ini, selepas merangkul emas pertama bagi kategori berbasikal 60 km individu wanita semalam.
Nur Aisyah selepas berjaya sampai di garisan penamat. |
Nur Aisyah berjaya mencatat masa 03:00:40 mengatasi pencabar terdekatnya dari Sarawak, Nur Azrenna Ahmad Jumry, pemenang pingat perak yang berkongsi catatan masa 03:00:41 dengan rakan seperjuangannya dari Terengganu, Sharifah Nur Ilyana.
Setakat ini, Terengganu berjaya mengutip sepuluh emas, lapan perak dan sembilan gangsa untuk kekal menerajui carta pungutan pingat.
Terengganu mengumpul keseluruhan 27 pingat dengan diekori rapat Pulau Pinang yang hanya dibezakan dengan kelebihan dua perak dan empat gangsa, sehingga petang ini.
Menurut Pengurus pasukan, Ahmad Sabri Mustapa, atlet berbasikal yang mensasarkan sembilan emas berada di tahap terbaik apabila berjaya membaham tiga emas, tiga perak dan satu gangsa pada hari ketiga persaingan sukan itu.
“Alhamdulillah, berkat kesungguhan, disiplin dan komitmen semua atlet, acara berbasikal telah meledak satu keputusan yang di luar jangkaan..saya berpuas hati setakat hari ini.
"Sasaran kita sembilan pingat emas dalam acara basikal dan sehingga hari ketiga kita sudah dapat tiga pingat emas jadi lepas ini kita tengok acara trek, kriterium, downhill, MTB dan BMX, pencapaian yang boleh kita lakukan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berharap momentum ini akan berterusan dan membantu Terengganu untuk gah kembali merampas juara SUKMA sekali gus mengekalkan status sebagai kuasa sukan negara.
Terengganu yang muncul juara keseluruhan empat kali berturut-turut SUKMA bermula 2008, 2010, 2011 dan 2012 menyasarkan kutipan keseluruhan 53 pingat emas, 32 perak dan 50 gangsa dalam temasya di Perak kali ini.
Untuk rekod, pada Sukma 2016 di Kuching, Sarawak, Nur Aisyah yang juga pelumba negara, mendominasi lima emas menerusi acara ujian masa individu dan berpasukan, lepas beramai-ramai, individu dan berpasukan serta kriterium.