Pembatalan Pertemuan Anwar-Prabowo: Ahmad Amzad Desak Penjelasan Segera
IPOH - Terengganu yang sudah seminggu mendahului kedudukan teratas pungutan pingat, terpaksa akur berada di tangga kedua selepas dipintas Wilayah Persekutuan dengan kelebihan satu emas.
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu berkata, walaupun sudah dipintas sejak malam tadi, peluang untuk kontinjen Terengganu bangkit serta kembali menerajui tempat teratas masih cerah.
“Sama-sama mendoakan agar hari ini atau setidak-tidaknya esok kita dapat memintas kembali Wilayah Persekutuan dan Selangor. Kita melihat mereka (Selangor dan Wilayah Persekutuan) merosot pungutan pingat dalam acara sasaran seperti akuatik dan gimnastik dan mungkin ini antara peluang terbaik kita.
“Kita juga perlu optimis dan sentiasa positif untuk membuat yang terbaik. InsyaAllah kejayaan milik kita bersama,”katanya.
Sementara itu, Ketua Kontinjen, Samiun Salleh berkata, tempoh baki tiga hari temasya itu masih menawarkan 119 pingat emas dan Terengganu berada di landasan yang betul untuk menambah pingat emas seterusnya dapat mencapai sasaran kontinjen.
“Peluang tetap terbuka dan cerah untuk kita memenangi sekurang-kurangnya 25 emas lagi sekali gus mengukuhkan penguasaan semula dan bergelar juara.
“Pada hari ini, sebanyak 61 acara dipertandingkan. Daripada 61 acara berkenaan, kita sasarkan 13 emas. Sasaran keseluruhan kita adalah sasarkan 53 emas daripada keseluruhan 427 acara yang dipertandingkan, jadi peluang kita masih ada dan marilah kita semua saling mendoakan kejayaan para atlet serta kontinjen kita mencapai misi kali ini,”katanya.
Wilayah Persekutuan memintas Terengganu malam tadi, selepas meraih emas dalam acara silat Jurus Tunggal Baku, menerusi pesilat mereka, Akmal Hisham Ismail, manakala Terengganu sekadar berpuas hati meraih perak menerusi acara Solo Kreatif, pesilat Che Mohamad Fikri Che Ab Rahman.