Berita :
TDM Berhad Catat Peningkatan 16.6 Kali Ganda EBITDA Suku Pertama 2026
TDM Berhad Catat Peningkatan 16.6 Kali Ganda EBITDA Suku Pertama 2026
Ahmad Zaeem Zainudin
4 jam yang lepas
79

KUALA TERENGGANU, 19 Mei - TDM Berhad (TDM) memulakan tahun kewangan 2026 dengan prestasi operasi yang positif apabila mencatatkan lonjakan Pendapatan Sebelum Faedah, Cukai, Susut Nilai dan Penebusan (EBITDA) memberangsangkan bagi suku pertama 2026.

TDM dalam satu kenyataan berkata, EBITDA Kumpulan mencatatkan pertumbuhan signifikan kepada RM15.3 juta berbanding hanya RM0.9 juta pada tempoh yang sama tahun lalu, meskipun berhadapan dengan persekitaran pasaran yang mencabar.

Tambah mereka, peningkatan mendadak tersebut didorong oleh prestasi yang lebih baik daripada kedua-dua segmen terasnya iaitu bahagian Perladangan dan bahagian Penjagaan Kesihatan.

"EBITDA Kumpulan turut meningkat ketara sebanyak 16.6 kali ganda kepada RM15.3 juta, mencerminkan penambahbaikan prestasi operasi merentas segmen teras," kata kenyataan itu.

Menurut TDM, bahagian Perladangan muncul sebagai penyumbang utama dengan EBITDA sebanyak RM11.5 juta, meningkat daripada RM3.2 juta pada suku pertama 2025.

Manakala, bahagian Penjagaan Kesihatan (KMI Healthcare) yang turut mencatatkan prestasi membanggakan dengan EBITDA sebanyak RM6.9 juta dengan peningkatan 66 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TDM, Najman Kamaruddin berkata, pencapaian ini membuktikan strategi pengukuhan operasi syarikat berada di landasan yang betul.

"Walaupun keuntungan terjejas akibat kelembapan harga komoditi dan tekanan kos, kami berasa positif dengan peningkatan EBITDA yang mencerminkan kekuatan asas operasi kami," katanya.

Ulas beliau dalam kenyataan yang sama, bagi menghadapi cabaran masa depan, Kumpulan akan mengekalkan fokus terhadap disiplin kewangan.

"Ke hadapan, kami akan terus memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan operasi, pengurusan kos secara berhemah serta memperkukuh perniagaan teras dalam menghadapi cabaran pasaran yang berterusan," jelasnya.

Peningkatan EBITDA itu dicapai seiring dengan pertumbuhan hasil Kumpulan sebanyak 34 peratus yang mencecah RM174.5 juta, berbanding RM130.2 juta pada tahun lalu. 


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan