Terengganu Anjur Solat Hajat Tuntut Kembalikan Royalti

KUALA TERENGGANU, 27 Mac - Kerajaan negeri bakal menganjurkan majlis solat hajat beramai-ramai sempena progrtam Munajat Rakyat Terengganu Kembalikan Royalti pada 6 April depan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia adalah antara ikhtiar Kerajaan Negeri agar hasil petroleum dikembalikan setelah diputuskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada hari ini.

Katanya, program itu akan dimulakan dengan majlis berbuka puasa, solat tarawih, solat hajat berjemaah dan seterusnya ucapan daripada beberapa pemimpin tertinggi negeri.

“Semoga usaha yang dibuat membuahkan hasil buat seluruh rakyat Terengganu, apatah lagi dilakukan pada malam 27 Ramadan dan hanya kepada Allah SWT kita berserah (urusan royalti dipermudahkan)," jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mnyempurnakan Perasmian Sambutan Nuzul Al-Quran dan Ceramah bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dr Khalil berkata, polemik bayaran royalti petroleum masih berterusan dan belum menampakkan jalan penyelesaian terbaik.

"Jawapan yang dituntut tentang sekatan terhadap pemulangan hasil minyak kepada rakyat Terengganu masih samar.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula masih gagal memberi jawapan tuntas mengenai baki royalti 2023 dan bayaran hasil petroleum untuk tahun 2024," ujarnya.

Dr Khalil berkata, keadaan itu menyebabkan perancangan kerajaan negeri sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2023 dan 2024 terbantut dan tergendala.

"Akibatnya rakyat menjadi mangsa, siri bantuan dan inisiatif daripada kerajaan negeri yang sepatutnya mereka terima, tidak berjaya dilaksanakan,” katanya.

Tambahnya, rakyat telah mendesak agar kerajaan negeri melakukan pelbagai tindakan bagi membolehkan wang royalti kembali ke bumi Terengganu.

 

 

 


Tag: