KUALA TERENGGANU, 1 Februari - Terengganu FC (TFC) bersama pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menyeru rakyat Terengganu supaya menjadikan Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) sebagai 'tiga zero'.
Ianya dalam erti kata lain adalah bebas daripada sampah (zero sampah), asap rokok (zero asap rokok) dan kuaci (zero kuaci).
"Kita masuk ke stadium tanpa sampah dan tinggalkan stadium tanpa sebarang sampah.
"Stadium adalah kawasan larangan merokok, jadi sama-sama kita menjaga keselesaan bersama untuk tidak merokok di dalam stadium.
"Butir kuaci adalah dilarang dibawa masuk ke stadium atas faktor sampah kulit makanan ini yang akan ditinggalkan di serata stadium," jelas TFC di laman Facebook rasminya hari ini.
Katanya, budaya baharu itu perlu dimulakan di SSINS yang merupakan 'rumah kedua' penyokong pasukan bola sepak Terengganu.
"Kita perlu menjaga kebersihan dan hubungan antara sesama penyokong.
"Bersempena dengan musim baru Liga Malaysia 2019, marilah kita sama-sama melangkah ke hadapan dengan menjadi individu yang lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan hubungan antara satu sama lain.
"Kepada semua penyokong, ayuh bermula tahun 2019, kita sama-sama tampilkan sikap positif di samping memberikan sokongan yang utuh buat pasukan kesayangan kita," ujarnya.