Terengganu FC Langkah Kanan

Sharin Sapien cemerlang kemudi bahagian tengah.


KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Terengganu Football Club (TFC) bermula dengan langkah kanan apabila menewaskan PKNS FC 3-1 dalam aksi pertama Piala Malaysia 2019, semalam.

Beraksi di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS), Terengganu FC mempamerkan aksi bersemangat apabila mendahului pada minit ke-5  melalui Sanjar Shaakhmedov hasil gerakan menarik Tcheche Kipre dan Ahmad Syamim Yahya.

Tuan rumah hampir menjarakkan kedudukan pada minit ke-16, namun gol Kipre tidak dikira kerana berada dalam kedudukan offside.

Sang Penyu berjaya mendominasi perlawanan dengan pelawat sekali sekala melancarkan serangan ke kubu tuan rumah.

Pada minit ke-31, Semut Merah berjaya menyamakan kedudukan setelah serangan balas mereka disudahkan Muhammad Jafri Chew yang menerima umpanan Kpah Sherman.
Kipre jaring dua, tetapi tidak dikira kerana berkedudukan offside.

Bagaimanapun, tuan rumah kembali di depan apabila Nasrullah Haniff menanduk lorongan Syamim untuk gol kedua Terengganu FC.

Kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Kipre  berjaya menyempurnakan peluang yang terhidang namun dia sekali lagi terperangkap offside.

PKNS FC cuba menggandakan asakan dan menguasai permainan dengan memasukkan Gabriel Guerra dan Mahalli Jasuli tetapi benteng Terengganu Fc terus bertahan.

Pengendali sementara Terengganu FC, Nafuzi melakukan beberapa pertukaran untuk memastikan kelebihan terus dikekalkan.

Tuan rumah akhirnya berjaya meledakkan kelegaan 'pemain ke 12' apabila Sanjar melakukan rembatan hasil hantaran lintang Nabil Latfi yang ditanduk Abdul Shukur Jusoh lantas mengukuhkan tiga mata Terengganu FC dalam pemburuan ke peringkat kalah mati.

Terengganu FC akan berdepan Kedah di Alor Setar, 8 Ogos ini.





Tag: