Penyokong TFC kecewa melihat pemain-pemain PJ City meraikan gol. |
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Terengganu Football Club (TFC) kecundang lagi.
Skuad Penyu yang melayan Petaling Jaya (PJ) City di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, semalam mengejutkan penyokong-penyokong yang hadir apabila tewas 5-3 kepada pelawat setelah mendahului 3-0 pada babak pertama.
TFC memulakan permainan dengan agresif setelah wisel ditiupkan.
Pada minit ke 11, gerakan cantik gandingan Ashari Samsudin, Sanjar Shaakhmedov disudahkan dengan rembatan Tcheche Kipre yang terbias menerjah jaring.
TFC menguasai permainan dengan melakukan serangan demi serangan.
Segalanya tampak tidak menjadi buat TFC walaupun mendahului tiga gol. |
Kali ini, pemain sayap yang baru tiba dari Ultimate FC, Mohamad Nabil Latpi merembat kemas hantaran Lee Tuck ke dalam gawang pada minit ke 17' untuk jaringan 'debut'nya.
Dua minit kemudian, Ashari pula meledakkan gol ketiga mencatatkan kelebihan tiga gol di separuh masa pertama.
Memasuki babak kedua perlawanan, segalanya serba tidak menjadi buat tuan rumah.
Nabil dikeluarkan pada separuh masa pertama tidak dapat membantu serangan pasukan. |
Pada minit 49', pertahanan import PJ City, Elizeu Batista mula merapatkan kedudukan dengan menampan mudah bola melepasi penjaga gola, Suffian Ab Rahman.
Seterusnya, Pedro Henrique pula melakukan 'flick' menewaskan Suffian sekali lagi pada minit 56'.
Seminit kemudian, satu lagi gol berjaya dihasilkan pelawat menerusi rembatan kencang Washington Dos Santos.
Kebangkitan PJ City dalam masa kurang 10 minit nyata meledakkan semangat mereka untuk terus memburu jaringan.
Kebangkitan PJ City kejutkan penyokong dan pasukan. |
Memasuki minit 77', Mohamad Zamri Ramli melenyapkan harapan TFC apabila melakukan rembatan kencang menjadikan kedudukan 4-3.
Tidak cukup dengan itu, Pedro Henrique sekali lagi menambah luka tuan rumah apabila menanduk masuk gol kelima PJ City.
Kekalahan tersebut mengejutkan penyokong dan rata-rata mereka melaungkan rasa tidak puas hati kepada pasukan atas keputusan yang disifatkan 'paling teruk' buat TFC.
Penyokong menyuarakan rasa tidak puas hati kepada pengurusan pasukan di luar stadium. |