Terengganu Naik Taraf Stadium Mini Gong Badak

Stadium Mini Gong Badak berwajah baharu.
KUALA NERUS, 31 Julai - Kerajaan Terengganu melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) telah berjaya menyiapkan Projek Cadangan Menaik Taraf Padang Ragbi Di Stadium Mini Kompleks Sukan Gong Badak di sini, yang dilaksanakan di bawah harga asal setelah semakan semula skop kerja dibuat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, harga kontrak asal adalah berjumlah RM3.76 juta manakala harga kontrak semasa RM1.47 juta.

Katanya, tarikh milik tapak adalah pada 21 Mei tahun lalu sementara tarikh siap asal pada 20 Mac tahun ini.

Penyerahan replika kunci oleh Ir Saiful Azmi (tiga dari kanan) kepada Ibni Amin (tiga dari kiri) sebagai simbolik penyerahan semula Stadium Mini Gong Badak kepada MSNT.
Menurutnya, kerajaan berunding semula dengan kontraktor bagi menetapkan tarikh baharu sekali gus menetapkan 13 Ogos tahun ini untuk tarikh tersebut.

Bagaimanapun katanya, pihak kontraktor terbabit berjaya menyiapkan projek 15 hari lebih awal iaitu pada 29 Julai lalu.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Padang Ragbi di stadium tersebut hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri, Ir Yusuf Ab Ghani dan Pengarah MSNT, Ibni Amin Busu.

Ir Saiful Azmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik berkata, skop kerja utama projek berkenaan termasuk kerja awalan dan kerja meroboh dan kerja Naik Taraf Bangunan Astaka.

Katanya, antara kerja naik taraf bangunan itu termasuk dua bilik persalinan, bilik urusetia, bilik medik, bilik persalinan Tuanku Muda, bilik santapan diraja dan tandas di tingkat bawah stadium.

Sementara tingkat atas pula naik taraf dibuat untuk tempat duduk VVIP (tetamu kehormat), VIP dan bilik media.

Turut dibina stor olahraga, 'Sewerage Treatment Plan' (STP) serta kerja-kerja Mekanikal dan Elektrik (M&E).

Kontraktor utama projek ini ialah Petro Dynamic Engineering Sdn Bhd.

Sementara itu, satu Majlis Penyerahan Dokumen antara pihak syarikat kepada kerajaan dan MSNT diadakan sempena majlis tersebut.

Pengurusan dan penyelengaraan mini stadium dan padang ragbi bertaraf antarabangsa itu dikendalikan oleh MSNT.

Tag: