Terengganu Rakam Ucapan Takziah Buat Keluarga Suffian


SETIU, 17 Ogos - Pemergian Penjaga Gol Terengganu Football Club (TFC), Suffian Abd Rahman mendapat perhatian seluruh peminat bola sepak negeri itu termasuk Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Ahmad Samsuri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Suffian yang disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.00 petang tadi.

"Dengan rasa dukacita saya mengambil kesempatan ini mewakili kerajaan negeri dan seluruh rakyat Terengganu mengucapkan takziah kepada keluarga arwah Suffian.

"Pihak kerajaan negeri sangat terhutang budi dengan segala permainan (khidmat) dan jasa yang telah diberikan sepanjang menyarung pasukan TFC," ujarnya ketika ditemui pemberita, di program pesta makan buah, kampung Pelong, di sini hari ini.

Tambah beliau, pihak kerajaan akan memikirkan cara terbaik untuk menyalurkan sumbangan sebagai menghargai jasa Suffian.

"Kita akan memikirkan sebarang bentuk sumbangan yang akan disalurkan kepada keluarganya, atas jasanya selama ini.

"Diharap keluarganya juga tabah menghadapi dugaan dan cabaran ini," tambah beliau.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Banggol Pauh selepas solat asar hari ini.

Pada 1 Ogos lalu, penjaga gol berpengalaman itu dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas mengalami masalah jantung.

Walau bagaimanapun, selepas beberapa hari dirawat di HSNZ, Suffian berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan pulang untuk membuat rawatan susulan.

Musim lalu, Suffian merupakan watak utama yang membawa skuad Penyu muncul naib juara Piala Malaysia dan menduduki tangga keempat Liga Super.

Pemain paling senior Liga Malaysia (Liga M) itu yang menyarung jersi skuad TFC bermula pertengahan 2017 juga beraksi dengan cemerlang dalam saingan Liga Super musim ini.


Tag: