Terengganu Sasar 5 Pingat Emas


KUALA NERUS,  23 Mac - Terengganu menetapkan sasaran lima pingat emas untuk dipungut di Kejohanan Silat Kebangsaan Ke-19 di Kuantan,  Pahang pada 26 hingga 30 Mac ini. 

Seramai 37 pesilat muda menyertai kejohanan tersebut dengan latihan agresif lima malam berturut-turut  antara jam 9 hingga 11 malam mulai 21 hingga 25 Mac ini.

Pengerusi Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) Negeri Terengganu, Haji Yahaya Ali berkata, Terengganu mempunyai target lebih dari tiga pingat emas dalam kejohanan tersebut.

"Pencapaian terbaik kita ialah tiga pingat emas dan kita ada potensi beberapa orang atlet yang ada kemampuan untuk menggondol pingat emas," katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), di sini hari ini.



Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri berkata, semua ini adalah hasil usaha gigih yang sudah dibuat oleh pihak kepimpinan MSNT, persatuan, jurulatih serta semua pihak yang terlibat.

"Mereka berkampung di sini sejak 21 Mac lagi. Sehingga ke tarikh kejohanan, mereka berlatih siang dan malam," jelasnya.

Menurut beliau, semangat mereka setakat ini sangat tinggi dan kerajaan negeri mengharapkan mereka dapat mengekalkan semangat dan berada dalam suasana kerja berkumpulan (team work).

"Dan saya yakin kita boleh mencapai yang terbaik dalam kejohanan kali ini," katanya.



Berhubung dengan pengurusan pasukan pula, beliau berkata, pihak pengurusan pasukan pesilat Terengganu adalah mereka yang sudah lama terlibat dalam dunia silat sebagai jurulatih dan kepimpinan sukan.

"Saya tidak nampak ada masalah dari segi pengurusan kerana mereka yang ada sekarang ini adalah mereka yang berkebolehan, banyak pengalaman dan mampu untuk menaikkan imej negeri Terengganu dalam bidang seni silat ini," ujarnya.

Tag: