Dr. Samsuri mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk yang hadir. |
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, kerajaan negeri masih dalam proses menentukan bentuk dan cara penyampaian sumbangan tersebut.
“Dana raya akan diberikan, cuma kita masih menilai kumpulan sasar yang benar-benar layak dan ia akan dimaklumkan semula nanti,” katanya ketika ditemui pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan pengagihan bubur lambuk di Masjid Abidin, di sini semalam.
Dana Raya akan diberikan kepada yang benar-benar layak - Dr. Samsuri. |
Sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk diagihkan oleh Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) selama tiga hari kepada masyarakat sekitar.
Kerajaan negeri turut menaja sebanyak 2,000 bekas bubur setiap hari sepanjang bulan Ramadan untuk masjid negeri itu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dr. Wan Ahmad Rudirman bin Wan Razak serta pegawai-pegawai eksekutif anak-anak syarikatnya.
Dr. Samsuri yang hadir bersama isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman turut menzahirkan rasa terima kasih kepada rakyat Terengganu yang sentiasa memberikan pandangan positif dan menyokong usaha kerajaan negeri.
“Terima kasih kepada rakyat yang sentiasa memberikan pandangan positif mahupun kritikan yang sangat membantu kerajaan.
“Saya turut berharap rakyat bersabar dengan usaha-usaha dan penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.
Tuan Faizah memberikan bubur lambuk kepada pengunjung cilik. |