MARANG, 13 November – Kerajaan Terengganu sentiasa bersiap sedia menghadapi kemungkinan berlakunya banjir pada bila-bila masa bermula sekarang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Samsuri Mokhtar berkata, Kerajaan Negeri sentiasa ‘alert’ dengan maklumat dan berhubung dengan Jabatan Meteorologi Malaysia untuk mengetahui perkembangan terkini banjir di negeri Terengganu.
Katanya, sebelum ini banjir diramalkan bermula dari 11 November lalu tetapi bencana tersebut tidak berlaku.
“Kita sentiasa berdoa agar banjir tahun ini tidak berlaku lebih teruk dari sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Penggal 1 Tahun 2023-2025 bagi DUN Rhu Rendang di Dewan Utama Majlis Daerah Marang di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Daerah dan Tanah Marang, Zulkifly Isa, Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Lukema Meri Salleh dan Pengarah Majlis Tindakan DUN (MTD) Rhu Rendang, Hassan Awang
Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu, peruntukan bencana termasuk banjir disediakan kerajaan negeri setiap tahun.
“Banjir tetap berlaku setiap tahun di Pantai Timur walaupun rakyat menyokong apa parti sekalipun,” ujarnya.
Terdahulu, seramai 38 orang Pengerusi JPKK dari DUN Rhu Rendang menerima watikah pelantikan daripada Kerajaan negeri Terengganu.
Dalam masa yang sama, Ahmad Samsuri berharap JPKK yang dilantik menjalankan amanah dan tanggungjawab sebaik mungkin.