Terengganu Teruskan Program Madinah Ramadhan


KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri meneruskan pelaksanaan program Madinah Ramadhan bagi menggalakkan umat Islam menghidupkan bulan penuh rahmat dengan amalan yang dituntut dan disarankan oleh Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, program yang memasuki edisi kedua dilaksanakan di Terengganu itu berupaya menarik perhatian masyarakat termasuk pelancong luar kerana menawarkan pelbagai aktiviti keilmuan dan ibadah sepanjang Ramadhan.

Katanya, ianya bakal diadakan di Dataran Batu Burok dan bertujuan bagi mengingati kefardhuan puasa yang dihayati oleh Nabi Muhammad S.A.W bersama umat Islam Madinah secara khususnya.

“Dalam erti kata lain, kita hendak jadikan bandaraya ini umpama satu bandar seperti (Madinah) yang hidup di bulan Ramadhan dengan amalan yang dituntut oleh agama.

“Walaupun program keagamaan biasanya dilakukan di masjid dan surau tetapi kita bina satu tempat di Dataran Batu Burok yang kita namakan ‘Madinah Ramadhan’ dengan memuatkan pelbagai pengisian yang sangat unik,” ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman selepas mengadakan lawatan ke tapak Program Madinah Ramadhan di Dataran Batu Burok, hari ini.


Katanya, antara acara yang diatur termasuk berbuka puasa bersama, solat Maghrib dan Isyak berjemaah serta solat tarawih bersama imam dari luar negara. 

“Selain itu, ada pengisian lain termasuk tazkirah, kuliah, bicara wanita, program khusus bersama mat motor, anak-anak muda, beliawanis dan seumpamanya,” ujarnya.

Mohd Nor berkata, program tersebut juga memberi kemudahan kepada para pengunjung untuk mengisi waktu terluang selepas membeli-belah atau beriadah di sekitar Pantai Batu Burok dan peniaga Bazar Ramadhan berhampiran untuk berbuka puasa di sini, seterusnya menunaikan solat.

“Saya menyeru orang ramai termasuk pelancong dan mereka yang bukan beragama Islam untuk mengambil kesempatan merasai suasana Ramadhan di sini.

“Orang ramai yang beriadah bersama keluarga dan yang menziarahi kaum keluarga di Hospital Sultanah Nur Zahirah juga tidak perlu lagi gusar kerana turut berkesempatan menghidupkan bulan mulia ini menerusi kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri ini,” ujarnya.

Tag: