TFC, UniSZA Jalin Kerjasama Bangunkan Bola Sepak

KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd menjalinkan kerjasama dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi meningkatkan mutu bola sepak negeri ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama tujuh tahun itu akan memberi faedah bersama kepada kedua-dua pihak.

Katanya, usahasama berkenaan membabitkan dalam 10 bidang utama.

“Antaranya kerjasama melalui penggunaan infrastruktur dan fasiliti sukan di kampus UniSZA dan membantu perkembangan para pelatih akademi dari sudut akademik dan penguasaan Bahasa Inggeris.

“Pembangunan bolasepak TFC juga akan disokong menerusi kepakaran dari bidang saintis sukan, kejuruteraan dan perubatan di UniSZA.

“Selain itu beberapa lagi kepakaran yang telah ditawarkan oleh UniSZA adalah dari sudut pemasaran, penjanaan pendapatan, psikologi, nutrisi, fisioterapi dan juga analisis pencapaian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) Antara Terengganu Football Club Sdn Bhd Dan Universiti Sultan Zainal Abidin di Damai Lounge, Wisma Darul Iman, tengah hari tadi.

Turut hadir, Penasihat Undang-Undang Negeri Terengganu, Dato' Razali Che Ani, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman serta Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh.

Sementara itu, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan menyifatkan kerjasama tersebut selari dengan pelan induk 10 tahun Sukan Terengganu.

“Kita beruntung kerana dalam Terengganu paling aktif dari segi kolaborasi sukan dengan dunia akademik seperti bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu sejak tahun 2016.

“Tambah lagi, kita ada pusat kecermelangan sukan dan UniSZA adalah satu-satunya universiti mengalakkan penyelidikan sukan dan pengajian tinggi dalam bidang tersebut,” katanya lagi.


Tag: