• 15 Nov 2024 | 13 Jamadil Awal 1446

THT Berpesta Gol ‘Ratah’ Kedah

Foto Ihsan - MHL.

KUALA LUMPUR, 15 Januari - Pasukan Hoki Terengganu (THT) berpesta gol membelasah Kedah/Nurinsafi HT 8-2 dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia (MHL) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil yang berakhir sebentar tadi.

THT yang masih segar dengan kejayaan besar menumpaskan TNB Thunderbolts 5-0 tempoh hari turun dengan skuad utama bagi meraih kemenangan kedua berturut-turut.

Walau bagaimanapun, THT dikejutkan dengan jaringan awal Kedah/Nurinsafi pada minit ke-3 perlawanan menerusi Muhammad Azfar Yaqoob yang bijak memanfaatkan peluang di hadapan pintu gol THT.

Tersentak dengan gol tersebut, THT melancarkan serangan bertali arus ke kubu Pasukan Hoki Kedah/Nurinsafi, hasilnya Muhammad Rashid Baharom menyamakan kedudukan pada minit ke-5.

Dua minit kemudian, THT sekali lagi mengganas apabila Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran menghasilkan gol padang untuk meletakkan THT memimpin perlawanan.
Faizal melakukan gerakan menarik sebelum mengganas dengan jaringan ketujuh.
Permainan terus berlangsung rancak apabila pada minit ke-7 pemain Kedah/Nurinsafi, Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi menyamakan kedudukan juga menerusi jaringan padang.

THT yang tercabar dengan jaringan tersebut memperkemaskan jentera pasukan dan serangan untuk terus melancarkan beberapa serangan merbahaya.

Hasilnya, pada minit ke-21, THT dihadiahkan pukulan sudut penalti dan peluang itu tidak disia-siakan pemain import kelahiran Korea Selatan, Jung Manjae untuk meledak gol ketiga pasukan.

Pada minit ke-29, THT terus melebarkan jaringan apabila Faizal Saari menambah gol keempat sebelum Muhammad Sufi Ismat Mrrohulamin menjadikan kedudukan 5-2 berpihak THT pada minit ke-36.

Pasukan Hoki Kedah/Nurinsafi yang dibarisi gaungan pemain baharu dan lama jelas tidak mendapat belas kasihan pasukan THT apabila menambah jaringan keenam menerusi penyudah Muhammad Azri Hassan pada minit ke-42.

Fitri Saari (dua dari kiri) cemerlang memimpin pasukan untuk kemenangan kedua.
Lima minit berselang, hasil gerakan cantik, Faizal Saari sekali lagi menambah derita Kedah/Nurinsafi dengan jaringan ketujuh.

Sebelum jaringan padang Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran melengkapkan derita pasukan utara itu empat minit sebelum perlawanan tamat.



Tag: