Foto ihsan - Malaysian Hockey Confederation |
Kali terakhir THT memenangi kejuaraan Piala TNB pada tahun 2017 ketika menewaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 5-4 selepas perlawanan terikat 4-4 dan kejayaan mereka merampas kembali kejuaraan itu bertambah manis apabila penjaga gol Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri diangkat selaku pemain terbaik perlawanan akhir dan pemain import mereka, Jang Jonghyun muncul selaku penjaring terbanyak TNB Liga Hoki Malaysia saingan Liga Perdana dan Piala TNB dengan 22 gol.
Pengendali THT, I Vikneswaran yang ditemui selepas tamat perlawanan tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila pasukan yang hanya dibentuk secara lengkap seminggu sebelum kempen 2019 bermula berjaya untuk muncul selaku juara keseluruhan bagi musim 2019.
Vikneswaran turut menambah faktor pemain yang beraksi di pentas akhir buat kali pertama juga menjadi penyebab mereka memulakan perlawanan dengan agak perlahan kerana tekanan yang dirasai oleh rata-rata pemain yang tidak mempunyai pengalaman itu menyebabkan mereka takut untuk melakukan kesilapan ketika di dalam perlawanan.
“Permulaan permainan pasukan kami agak kurang memuaskan kerana mungkin kerana faktor pertama kali beraksi di pentas berbanding pasukan UniKL yang merupakan juara bertahan dan dibarisi rata-rata pemain cukup berpengalaman.
“Tekanan di perlawanan akhir cukup berbeza selain tekanan itu juga menyebabkan pemain-pemain yang tidak pernah bermain di final takut untuk melakukan kesilapan tetapi ianya dapat diatasi pada suku kedua dan ketiga namun sayangnya kami melepaskan satu gol.
“Kemenangan hari ini juga cukup penting buat kami kerana tahun ini THT berada di bawah pengurusan yang baru dan pasukan ini dibentuk secara lengkap seminggu sebelum saingan 2019 bermula tambahan kondisi pasukan juga agak kurang daripada pasukan lain kerana kami dibarisi oleh pelbagai pemain yang tidak mengetahui budaya Terengganu.
“Tetapi apa yang penting selepas melalui pelbagai situasi serta kesusahan kami berjaya untuk menanganinya dan hari ini kami beraksi di pentas final serta berjaya untuk menewaskan UniKL 2-1 di pentas akhir,” jelasnya.
THT membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi Jang Jonghyun yang menjaringkan gol ke-22 peribadinya sepanjang musim ini hasil pukulan sudut penalti dan gol kedua THT hadir pada minit ke-40 menerusi satu lagi jaringan pukulan sudut penalti kali ini disempurnakan oleh seorang lagi pemain import Korea Selatan, Jung Manjae.
Bagaimanapun UniKL berjaya untuk merapatkan jurang jaringan pada minit ke-44 apabila kelebihan pukulan sudut penalti yang turut dimiliki mereka berjaya disempurnakan Muhammad Razie Abd Rahim dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus mengangkat THT selaku juara keseluruhan musim 2019.
Terdahulu berlangsung pertembungan di antara Tenaga nasional Berhad (TNB) dan Maybank bagi penentuan tempat ketiga dan keempat yang menyaksikan TNB muncul pemenang tempat ketiga selepas membelasah lawan mereka 7-2.
SUMBER: MALAYSIAN HOCKEY CONFEDERATION