Nafuzi memerhatikan Serhii, sewaktu latihan di pantai baru-baru ini. Foto: Media TFC. |
KUALA NERUS, 1 Ogos – Pengendali sementara Terengganu Football Club (TFC), Nafuzi Zain melahirkan harapan pasukannya mampu mengulangi pencapaian layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia sekiranya terus mempamerkan aksi berdisiplin dan konsisten.
Nada itu disuarakan menjelang aksi pembukaan Piala Malaysia menentang PKNS FC di Stadium Sultan Ismail Nassiruddin Shah, esok.
“Kalau kita bermain dengan penuh komitmen, saya percaya tiada yang mustahil untuk dicapai. Tetapi, jika kita hanya meletakkan target tanpa usaha, ia tidak akan ke mana.
“Sebagai finalis tahun lalu, jangkaan ramai memang tinggi, tetapi ia bukannya perkara mudah,” katanya ketika ditemui media sewaktu latihan akhir di padang latihan TFC, Gong Badak, baru-baru ini.
Nafuzi bagaimanapun, berjanji akan cuba memberikan aksi yang terbaik untuk mengatasi lawannya.
“Bagi saya kumpulan A adalah grup yang sukar dengan Kedah yang memiliki moral tinggi selepas menjadi juara Piala FA, PKNS pula mempunyai rangkaian pemain import yang hebat dan Negeri Sembilan, sekiranya tidak hebat masakan mereka mampu layak beraksi di Piala Malaysia.
“Namun, saya akan cuba memberikan yang terbaik dan yang paling utama kita perlu melepasi peringkat kumpulan sebelum memikirkan sasaran seterusnya,” katanya.
Pasukan TFC menanti kunjungan PKNS FC tanpa kelibat kapten, Lee Andrew Tuck yang digantung perlawanan serta beberapa pemain utama yang masih cedera.
Bagaimanapun, Nafuzi tidak menganggap ia satu alasan sebaliknya percaya dengan barisan pemain sedia ada.
“Kita telah mengharungi banyak pelawanan musim ini tanpa skuad penuh dan saya percaya dengan kebolehan pemain yang ada untuk menampung kekurangan itu.
“Kita juga lebih yakin setelah mendapat khidmat pertahanan TFC 2, Serhii Andrieiev yang telah menunjukkan keserasian dalam pasukan,” tambahnya.
Pemain kelahiran Ukraine itu diturunkan kali pertama bersama skuad ‘abang’ dalam perlawanan terakhir Liga Super 2019 ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) dan telah menjaringkan gol dalam perlawanan tersebut.