Sidang Kemuncak Antarabangsa Terengganu Kecam Genosid di Palestin
KUALA NERUS, 7 Ogos- Terengganu Football Club (Terengganu FC) terus mengutip tiga mata selepas menang 2-0 keatas Sri Pahang FC dalam saingan Liga Super 2021, malam ini.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Gong Badak, pasukan pelawat tampak garang apabila menguasai bola dan melakukan serangan ke kubu tuan rumah seawal permainan.
Bagaimanapun, David Da Silva yang kembali mendapat sentuhan gol ketika bertemu PJ City FC, baru-baru ini berjaya membolosi gawang skuad kendalian Dollah Salleh itu pada minit ke-11 untuk Terengganu FC berada di depan dengan satu gol.
Bermula dengan kombinasi gerakan bersama Makan Konate, Faiz Nasir berjaya melorongkan bola ke Da Silva dan penyerang kelahiran Brazil itu bijak menggelecek Fazly Mazlan sebelum mudah meletakkan bola ke dalam gawang kendalian Zarif Irfan.
Sri Pahang hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-14.
Namun, tandukan penyerangnya, Kenny Athiu tepat ke tiang gol dan terbias ke Aung Kaung Mann sebelum singgah lagi ke tiang gol untuk menghampakan penyokong Tok Gajah.
Dua minit kemudian, Da Silva digantikan dengan Hakimi Abdullah dan meletakkan Faisal Halim sebagai penyerang Sang Penyu.
Keputusan itu membuahkan hasil apabila penyerang cilik itu meledak gol kedua pada minit ke-23 melalui tandukan hasil hantaran lintang Faiz Nasir.
Keputusan kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, anak buah Nafuzi Zain mempamerkan penguasaan bola menarik untuk mengekalkan kedudukan semasa.
Pada minit ke-50, Dechi Marcel melakukan rembatan dari luar kotak penalti, namun tersasar melepasi palang.
Kesilapan pertahanan Pahang pada minit ke-59 sekali lagi mengundang padah apabila bola yang cuba dikeluarkan Muslim Ahmad ditanduk Faisal membolehkan Konate melakukan 'half volley' yang hampir menerjah jaring.
Pelawat terus buntu menghasilkan gol bagi menyamakan kedudukan sekalipun Sang Penyu mengendurkan asakan pada 10 minit terakhir perlawanan.
Keputusan kekal 2-0 sehingga tamat perlawanan.
Terengganu FC kini terus kekal di tangga kedua liga dengan 37 mata.